BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, July 31, 2012

tabir sepi

Embun menghembus merata dihamparan bumi, puputan bayu memberi kenyamanan dan menyelimuti segenap   panorama malam. Gelita yang menghiasi malam sambil dilimpahi cahaya bulan yang memancar menyeluruh, kelihatan masih sukar untuk menembusi dan menyinari hati manusia yang sedikit kusam dan berhabuk dihambat arus pemodenan zaman. Kita masih lagi berkampung di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak dan menikmati setiap isi hari yang berlalu pergi. Apabila dibangkitkan tentang berpuasa, ramai yang tahu cara untuk berpuasa tetapi sayangnya tidak ramai yang mengamati nilai dan erti sebenarnya kita berpuasa. Adakah kita manusia yang hipokrit dan tidak mahu untuk mengetahui apakah sebenarnya maksud berpuasa? Adakah kita masih jahil dengan Rukun Islam ini? Tepuk dada dan tanya IMAN serta jangan sesekali berani untuk mendabik dada. Mungkin masih ada yang termanggu-manggu mencari jawapan, tetapi itu bukan kesalahan untuk kita menambah ilmu. Apabila kita berpuasa, kita menahan diri dari lapar dan dahaga, serta memelihara fizikal, batin dan rohani dari melakukan perkara yang ditegah oleh syarak sehingga boleh membatalkan puasa. Untuk perkongsian bersama, sebenarnya rosak puasa kita dan tidak diterima oleh Allah s.w.t apabila kita berpuasa tetapi pada masa yang sama kita tidak menunaikan solat. Solat 5 waktu sehari semalam adalah pelengkap kepada kesempurnaan ibadat yang lain. Setiap kebaikan yang kita lakukan semuanya akan berbalik kepada kesempurnaan tiang Agama itu kembali. Jika kita tidak mendirikan solat, apa yang kita dapat sewaktu berpuasa hanyalah lapar dan dahaga sahaja. Perkara ini berlaku kerana kita terlalu memandang enteng tentang fungsi solat dalam kehidupan harian kita, walaupun ia adalah wajib tetapi masih ramai dikalangan kita yang hanya melihatnya dengan sebelah mata. Hanya 10 minit kita perlu peruntukkan untuk bersolat pada setiap waktu dan sehari kita mempunyai 24 jam, kita hanya perlu mengambil 50 minit dari jumlah kitaran jam seharian itu untuk beribadat. Itu adalah masa paling minima yang kita boleh ambil untuk bersama Allah. Adalah lebih baik jika kita mampu untuk memanjangkan tempoh beribadat itu, dan lebih khusyuk untuk kita memuji kebesaran Allah s.w.t. 
Pada golongan Hawa yang mempunyai masalah wanita pada setiap bulan, janganlah jadikan itu sebagai satu alasan untuk kita makan dan minum dengan sewenang-wenangnya di hadapan orang lain mahu pun di kalangan ahli keluarga sendiri. Perkara itu ditegah dan tidak digalakkan sama sekali. Jika kita sudah mendapat 'cuti', maka wajib untuk kita mengqada'kan puasa tersebut pada masa yang lain sebelum tiba Ramadhan yang berikutnya. Namun, ramai wanita yang masih terlepas pandang dan tidak menggantikan puasa mereka, ini bolehlah dikatakan sebagai cetek pemahaman agama dalam beribadat. Kita perlu faham akan kepentingan menjaga adab sewaktu berpuasa dan paling penting adalah berusaha mencapai setiap tuntutan yang telah difardhukan. Jika kita hanya berpuasa tetapi masih tidak bersolat, masih membuka aurat, tidak memelihara pergaulan, mengumpat dan melakukan perkara yang tidak sepatutnya, PUASA itu kelihatan umpama seperti sebuah budaya yang menjadi ikut-ikutan dari generasi ke generasi. Ini bermakna, bangsa lain yang bukan beragama ISLAM juga boleh melakukan puasa di dalam bulan Ramadhan dan menyambut Aidilfitri kerana mereka juga tidak menjaga aurat dan tidak bersolat. Semua orang melakukan kesilapan, dan kembalilah kita kepada jalan dan tuntutan yang sebenar. Buang yang keruh ambil yang jernih. Manfaatkan setiap masa yang tertingal untuk diri kita dan keluarga ini untuk memperbetulkan diri serta menambah ilmu agama dalam diri. Hanya ini sahaja yang mampu untuk saya coretkan dalam ruangan ini, InsyaAllah setiap yang sukar itu akan dipermudahkan dan yang kabur itu akan dijelaskan apabila kita mengingati Yang Esa dan tidak berpaling daripada-Nya. amin.. :)


Assalamualaikum
~phared shakur~

0 comments: