BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, April 29, 2019

KisaH

Assalamualaikum

Jauh merantau ke pekan besar, ilmu disisir di dalam jati, selamat bertemu bersapa khabar, amalan yang baik simpan di hati. Mukadimah dimulakan dengan pantun walaupun tidak ada sesiapa yang membaca. Kita sudah pun berada di penhujung bulan April 2019. Cepat sungguh masa berlalu dan selepas ini kita semua akan menjengah ke bulan Mei 2019, di mana pada awal bulan 5 ini kita akan menyambut kehadiran bulan Ramadhan 1440H dan memulakan ibadah berpuasa. Semoga kita dipanjangkan usia untuk bertemu dengan bulan penuh rahmat ini. Dikesempatan yang ada ini ayuhlah kita bersama membulatkan tekad untuk menambah amal ibadah sepanjang bulan Ramadhan yang bakal menjelma kelak. Kita buang yang keruh dan ambil yang jernih, buang tabiat yang buruk dan perbaiki amalan yang baik. Ini bukanlah untuk orang lain tetapi ia adalah untuk diri kita dan bekalan saham akhirat kita kelak.

Dalam mengharungi urusan seharian dalam pekerjaan dan bersosial bersama teman, kadangkala kita seperti terpanggil dengan memori lama yang mengetuk minda secara tiba-tiba apabila kita terlihat sesuatu yang mungkin dekat dengan kita. Sedang duduk berseorangan di 'site' dan dipayungi khemah daripada terik mentari, saya mengisi masa yang terluang itu dengan menonton 'Youtube' bagi menghilangkan rasa bosan buat seketika. Saya menonton sebuah klip muzik video lagu, di mana kisah klip muzik video tersebut seakan sama dengan kisah realiti yang dihadapi sahabat saya dahulu. Sudah beberapa tahun kisah itu berlalu, namun ia sangat berbekas di hati kerana saya melihat sendiri bagaimana seorang wanita memperbodohkan seorang lelaki dengan cukup kejam. Itu hanya pada tafsiran saya yang melihat daripada kisah sahabat saya yang menjadi mangsa.

Sahabat saya bercinta dengan bekas kekasihnya sejak daripada zaman persekolahan dan akhirnya mereka melanjutkan pelajaran di IPTA di ibu negara. Walaupun mereka berdua bukan di dalam satu IPTA yang sama namun kedudukan institusi pengajian mereka masih di kawasan lembah Klang. Benar mereka dahulu belajar di dalam satu sekolah yang sama selama bertahun-tahun, namun mereka amat jarang sekali berjumpa dan berdating di 'mall'. Sepanjang usia perkenalan mereka di zaman persekolahan, saya hanya melihat sekali sahaja mereka keluar dan meluangkan masa di 'mall'. Setelah melanjutkan pengajian di menara gading walaupun berada di dua institusi yang berbeza, tetapi ia seperti dekat buat mereka berdua untuk bertemu seperti pasangan bercinta yang lain. Mereka berkesempatan untuk luangkan masa bersama pada hujung minggu dan mudah untuk bertemu. Secara kasarnya saya melihat ia adalah jarak yang jauh, tetapi pada sahabat saya dan pasangan pada waktu itu, ia adalah dekat untuk mereka, ditambah dengan jaringan pengangkutan awam yang luas di kawasan lembah Klang.

Pasangan bercinta mana yang tidak dibadai gelora dalam hubungan, saya akui sahabat saya tersebut juga mengalami gejala yang sama seperti insan bercinta yang lain. Pasang surut hubungan akhirnya mereka berdamai semula kerana kasih antara mereka yang begitu kuat. Namun pada satu hari hubungan mereka diuji lagi dan pada waktu itu bekas kekasih sahabat saya tersebut menyatakan ingin berpisah dengan dia kerana bekas kekasih sahabat saya itu sedang mengenali hati budi seorang lelaki yang juga rakan kelas beliau. Bekas kekasih sahabat saya itu 'crush' dengan rakan lelaki dia, dan si lelaki tersebut juga 'crush' dengan bekas kekasih sahabat saya. Akhirnya sahabat saya memutuskan hubungan dengan bekas kekasih dia kerana, wanita tersebut begitu berkeras untuk mengakhiri hubungan mereka. Mereka berdua membawa haluan masing-masing dan wanita itu memulakan hubungan dia dengan rakan sekelas dia itu.

Disangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Kehidupan percintaan bekas kekasih sahabat saya itu dengan rakan lelaki kelas dia tidak bertahan lama dan singkat, mereka juga akhirnya berpisah pada tahun yang sama atas sebab yang tertentu. Bagaimana kisah ini boleh di ketahui oleh sahabat saya? Ia diceritakan sendiri oleh rakan kelas wanita tersebut yang mengajak sahabat saya untuk bertemu di KLCC. Bagaimana rakan kelas wanita tersebut boleh menghubungi sahabat saya? Dia menghubungi sahabat saya melalui Facebook. Rakan sekelas wanita tersebut ceritakan segalanya kepada sahabat saya kerana dia kasihan dengan sahabat saya itu. Rakan sekelas wanita itu juga kenal dengan lelaki itu yang juga rakan sekelas dia.

Kemudian bekas kekasih sahabat saya itu bertemu cinta lagi dengan jejaka lain. Jejaka itu amat meminati beliau dan bersungguh-sunguh ingin berkenalan dengan wanita itu. Akhirnya wanita itu membukakan pintu hatinya untuk lelaki terbaru tersebut untuk memperoleh tempat di dalam hati dia. Sedang hangat dibuai perasaan cinta, tiba-tiba pada satu hari wanita tersebut menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai teman wanita kepada lelaki yang sedang bercinta dengan dia pada waktu itu. Alangkah terkejutnya bekas kekasih sahabat saya itu apabila mendapat tahu akan perkara tersebut. Wanita dan lelaki tersebut telah bercinta lama dan akhirnya bekas kekasih sahabat saya itu memutuskan hubungan dengan lelaki itu. Lelaki tersebut dengan wanita itu terus utuh menabur rasa bahagia dan hubungan mereka tidak terlerai. Bekas kekasih sahabat saya yang memendam perasan dan merasai sakit kerana seperti dipermainkan. 

Mungkin sebelum ini dia mempermainkan sahabat saya, di mana sewaktu masih dalam hubungan dengan sahabat saya, dia menuai perasan dengan rakan sekelas dia, dan akhirnya dia pula dipermainkan dengan lelaki yang berperwatakan seperti amat mencintai diri dia. Akhirnya segala perbuatan buruk yang pernah dia buat, beralih kepada diri dia pula apabila diperBODOHkan oleh lelaki lain. Paling malang kebodohan dia yang memakan diri sendiri, mungkin maruah pun sudah tidak berharga lagi. Pada saya kesakitan yang dia rasa pada waktu itu adalah kiriman daripada apa yang pernah dia buat pada sahabat saya.

Ini hanyalah sekadar putaran ingatan yang kembali ligat berputar dalam ruangan memori saya. Saya berkongsi sebagai satu bentuk pedoman, jadi ambillah iktibar daripada kisah ini dan hargailah setiap kebaikan yang telah diberi. Dengan ini, saya mengundurkan diri, semoga kita bertemu kembali di lain masa.

-salam-

Saturday, April 27, 2019

daRJat

Assalamualaikum

Salam sejahtera diucapkan kepada anda semua di luar sana. Selamat berhujung minggu melayari waktu bercuti daripada komitmen pekerjaan yang mencengkam dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta serta insan tersayang. Isilah masa yang ada bersama keluarga pada waktu cuti ini dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat, di mana perkara yang dilakukan tersebut akan mengeratkan ukhwah sesama ahli keluarga yang sedia terjalin. Bercerita tentang pekerjaan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh majikan, ia tidak akan habis untuk kita lunaskan. Jadi usah membebankan diri anda dengan memikirkan hal pekerjaan yang tidak sudah itu pada hari cuti yang penuh kenikmatan ini. Tidak kiralah dalam sektor pekerjaan apa pun atau posisi dalam organisasi yang kita sandang, kita perlulah menjadikan keluarga sebagai keutamaan. Usahlah abaikan keluarga hanya kerana kita mengejar pangkat dan ringgit dunia.

Saya yakin ramai di antara kita di luar sana yang menghadapi pelbagai ragam rakan sekerja mahupun kerenah boss di tempat kerja. Usah tertewas dengan ledakan amarah emosi yang sedang mengelegak di hati dengan masalah manusia tersebut. Terus jalankan tanggungjawab anda dengan penuh kesabaran. Apakah faedah yang akan kita peroleh dengan melayan spesis manusia yang sakit tersebut? Benar tahap kesabaran kita juga pasti akan menemui penghujung jika dibiarkan, namun dengan membalas setiap apa yang telah didajalkan kepada kita tidak akan membawa perbezaan pun antara kita dengan manusia yang sakit tersebut. Anjing akan terus menyalak walaupun tidak ada sesiapa yang mengacaunya. Jadi biarkan saja manusia yang berpenyakit mental dan hati bergelumang dengan masalah dirinya sendiri kerana jika kita tidak ambil peduli maka  mereka sendiri yang akan sakit hati secara berganda. Maka itu adalah cara pembalasan yang lebih efisen untuk mereka.

Syok Sendiri
Kita harus sentiasa menghormati orang di sekitar kita tanpa mengira agama, bangsa ataupun pangkat yang dikendong. Walaupun kita berjawatan tinggi, namun usah kita pandang sepi kepada tukang cuci atau 'pak guard' di tempat kita kerja. Hormatilah perasaan sesama manusia dan binalah kepercayaan dikalangan orang sekeliling kita. Perasaan tidak memilih bulu dan pangkat dalam kita berkomunikasi akan membawa diri kita lebih dihormati oleh orang lain. Terdapat sesetengah boss atau individu yang berjawatan tinggi terlalu sombong dalam perbualan dan tingkah laku. Ini bukanlah contoh yang bagus untuk dipertontonkan kerana orang akan mengata buruk akan perbuatannnya itu. Masyarakat atau orang yang bekerja disampingnya hanya akan menghormatinya berdasarkan pangkat yang dia sandang dan bukanlah kerana sifat pekerti peribadinya yang mulia. Semakin tinggi kita menghamburkan rasa hormat kita kepadanya akhirnya dia tetap akan menengking kita, memaki hamun dan tidak mempunyai nilai berdiplomasi dalam organisasi pekerjaan. Dia hanya pandai dalam bekerja tetapi tidak tahu untuk membina hubungan harmoni sesama rakan sekerja walau dia adalah boss. Adakah kita mahu menjadi individu seperti itu yang tidak mempunyai akhlak peribadi yang elok dalam bekerja? Tidak perlulah kita menjadi manusia yang dicerca di belakang dan di bodek apabila bersua muka. Biarlah kita dikenang kerana cara kerja yang bagus serta menjaga akhlak keharmonian sesama rakan sekerja yang lain. 

Wahai masyarakat siber semua, bertanyalah kepada diri sendiri, adakah kita mahu menjadi manusia yang dilihat kerana kebaikannya atau diingati kerana keburukan yang telah dilakukan? Usahlah terperangkap dengan darjat pekerjaan anda, jadilah manusia yang sentiasa tunduk kepada Allah, dan insyaAllah hati kita akan tunduk dalam kehidupan seharian. Tidak banyak yang mampu saya kongsikan pada kesempatan kali ini, apa yang saya coretkan hanyalah senario yang berlaku dalam kehidupan pekerjaan kita. Tabah dan Sabar semua :)

Salam..




Wednesday, April 17, 2019

what'S up 2019!

Assalamualaikum

Apa khabar masyarakat maya yang terus utuh dengan budaya baru di dunia kini iaitu media sosial. Masih gigih melapah lapangan teknologi maklumat yang kekal mampan bermahajalela di segenap seantero glokal. Empat tahun menghilang daripada gugusan ruangan blog peribadi ini, kini Phared Shakur terpanggil untuk menjamah semula setiap huruf yang pernah menjadi santapan jemari tangannya. Masih bernafsu untuk terus bermain dengan patah perkataan walau kekok pada awal permulaan. Jika rajin diasah dan dibelai manja, maka ilham untuk dilontarkan tidak akan pudar dimamah tinta. Empat tahun dihurung rasa malas untuk mengemas kini entri terbaru. Empat tahun juga menerokai pelbagai cabaran baru dalam inci kehidupan.

Alhamdulillah perjalanan di awal permulaan 2019 ini berjalan dengan lancar dan diiringi hela kebahagiaan. Semoga semua itu diberikan keberkatan dan berterusan hingga ke tahun-tahun yang berikutnya. Amin. Proses kehidupan ini penuh dengan pelbagai onak dan duri. Ia terpulang kepada kita bagaimana untuk menempuhi semua itu dengan tabah, cekal atau tersungkur sebelum mengharunginya. Saya sendiri mencabar diri saya untuk melakukan perkara yang selalu saya anggap saya tidak mampu dan tidak akan lakukan. Saya keluar daripada zon selesa saya dan mengerah setiap asa yang ada untuk memperoleh ilmu dan pengalaman baru. Saya bukanlah individu yang ketagih kepada cabaran baru dalam kehidupan ini, tetapi apa yang saya lakukan adalah untuk mengenali potensi diri. Saya mampu selesaikan urusan akademik saya secara sepenuh masa, bukan separuh masa atau pjj, walaupun bekerja namun semua itu masih mampu saya lunaskan dengan jayanya. Pensyarah saya merangkap penasihat (dissertation adviser) bertanya kepada saya di dalam kelas, kenapa saya sambung pelajaran saya ke peringkat yang lebih tinggi? Saya menjawab, saya sambung belajar bukan kerana mahu mengejar pangkat dan tangga gaji di dalam organisasi pekerjaan tetapi kerana pembelajaran itu adalah kepuasan peribadi atau self satisfaction saya. Walaupun saya perlu berulang-alik dan tidur daripada waktu malam hingga ke pagi di Terminal Bersepadu Selatan Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) sebelum ke institusi pengajian untuk menghadiri kuliah, namun saya tidak pernah merungut kerana saya itu adalah jalan yang saya pilih. Saya bersyukur kerana saya mampu meneruskan dengan jayanya dan saya satu-satunya pelajar yang bekerja di dalam kelas dan berulang alik seminggu dua kali ke tempat pengajian. Tetapi apa yang saya ceritakan ini bukanlah berlaku pada tahun 2019 tetapi ia bermula pada tahun 2016 sehingga saya habis pengajian. Saya berkongsi akan perkara ini kerana ia adalah langkah gila yang saya ambil sehingga membuat orang sekeliling geleng kepala dengan keputusan yang saya ambil, malah majikan saya dahulu juga risau sekiranya badan saya tidak mampu untuk bertahan dengan komitmen saya sebagai pelajar, pekerja dan perjalanan. Alhamdulillah berkat doa semua insan saya sentiasa bermotivasi dan tidak patah semangat. Syukur.

Saya yakin anda di luar sana pasti mempunyai pengalaman yang lebih mengujakan untuk disisirkan bersama-sama teman atau sahabat maya anda. Usah merasa ragu dengan keupayaan diri anda. Pastikan anda habiskan apa yang telah anda mulakan. Kekuatan anda sebenarnya melebihi apa yang anda mampu bayangkan. Yakin terhadap potensi diri dan usah hanya memasang angan-angan tanpa diiringi usaha. Ajar diri untuk capai matlamat yang telah anda sasarkan di dalam kehidupan. Walaupun nampak sukar namun ia berbaloi setelah anda menggenggam kejayaan itu. Nikmat kejayaan itu tidak mampu diukur dengan ungkapan kata-kata. Percaya Allah sentiasa bersama dengan hamba-NYA yang berusaha.

Hanya setakat ini sahaja yang mampu untuk saya kongsikan kepada anda semua dan tidak panjang berjela seperti tahun-tahun sebelum ini. Ini adalah permulaan baru saya setelah empat tahun bersara seketika dalam landskap penulisan. InsyaAllah jika mempunyai kelapangan waktu dan daya pemikiran yang rancak, saya akan berkongsi lagi dengan anda semua walaupun anda merasa jelik untuk membacanya :) Sehingga kita bertemu lagi pada masa akan datang.

Assalamualaikum