BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, March 21, 2020

cOrona ViruS #Covid19


Assalamualaikum

Wawasan 2020 mula dicanangkan dalam landasan sejarah Malaysia hampir 30 tahun yang lalu oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 dan ke-7 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad. Hari ini pada tanggal 21 Mac 2020, kelihatan Wawasan yang ditatang itu seakan tidak mencapai objektif yang digembar-gemburkan sebelum ini. Namun itu hanyalah sekilas pandangan terhadap sasaran jangka panjang yang pernah disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia suatu ketika dahulu. Susunan abjad yang ingin diterjemahkan pada hari ini bukanlah untuk berdiskusi berkenaan Wawasan 2020 namun apa yang ingin disampaikan adalah berkaitan wabak penyakit Corona Virus atau Covid-19 yang sedang melanda Malaysia dan seluruh dunia secara umumnya.

Corona Virus @ Covid-19 didapati mula wujud pada bulan Disember 2019 dan tapak pertemuan awal serangan wabak ini adalah di negeri Wuhan, China. Sehingga ke tarikh artikel ini ditulis wabak maut ini sudah meragut lebih daripada 10 ribu nyawa di seluruh dunia dengan angka tertinggi adalah di negara China dan diikuti oleh negara Itali. Kedua-dua negara ini setiap satunya sudah mencatat angka kematian melebihi 3 ribu orang. Itali juga sudah memintas China untuk menduduki tempat pertama di dunia yang memiliki mangsa kematian tertinggi di dunia. Keseluruhan mangsa jangkitan yang positif Covid-19 adalah melebihi 80 ribu orang diseluruh dunia, dan saban hari angka mereka yang dijangkiti terus meningkat. Itali yang memiliki kapasiti rakyat seramai 60 juta orang sudah memasuki gelombang ke-6 untuk wabak Covid-19 ini, dan kerana itu angka kematian di negara itu kian meningkat. Di negara Iran, Tehran menyatakan bahawa nisbah kematian mangsa Covid-19 di negara itu adalah seorang dalam setiap 10 minit. Ini menunjukkan bahawa wabak ini sudah menjadi masalah sejagat yang mengancam nyawa manusia di seantero dunia.

Pelbagai langkah mula diambil oleh setiap negara dalam usaha untuk membendung wabak ini daripada terus merebak dan membunuh setiap nyawa di dunia ini. Malaysia juga tidak terkecuali mempraktikkan langkah proaktif untuk mengurangkan masalah jangkitan Covid 19. Pada tanggal 16 Mac 2020 (Isnin), Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac 2020 - 31 Mac 2020. Perintah Kawalan Pergerakan ini telah menyaksikan hampir semua sektor pekerjaan kerajaan dan swasta di dalam Malaysia memberikan pekerja mereka cuti bergaji selama 2 minggu. Ini kerana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan rakyat diminta untuk kekal duduk dirumah tanpa melakukan aktiviti luar rumah dalam usaha untuk mengurangkan kes jangkitan Covid-19 di dalam negara. Sehingga ke tarikh hari ini, Malaysia sudah mencatatkan 8 kematian mangsa Covid-19. Namun disebalik perintah kerajaan yang telah dikuatkuasakan itu masih terdapat rakyat Malaysia yang degil dan masih mengambil kesempatan terhadap cuti yang diberikan selama 2 minggu itu untuk pulang ke kampung halaman serta tidak kurang yang bercuti bersama keluarga. Perintah Kawalan Pergerakan yang hampir memasuki satu minggu ini mengikut pemerhatian pihak berkuasa hanya mencatat 60% keberkesanan di kalangan rakyat yang mematuhi perintah tersebut dan selebihnya masih lagi ingkar. Makluman yang disampaikan oleh pihak kerajaan, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini rakyat diminta untuk menangguhkan aktiviti perkahwinan, keagamaan, percutian, kerja, dan sekiranya ada kematian ia tidak dilakukan bacaan tahlil di rumah. Solat Jumaat sepanjang 2 minggu ini juga tidak diadakan dan diganti dengan solat Zohor yang perlu dilakukan dirumah. Aktiviti solat berjemaah di rumah-rumah Allah juga tidak dilakukan atau dibuat dalam jumlah jemaah yang kecil serta singkat.

Bertitik-tolak daripada kedegilan segelintir rakyat Malaysia yang masih buta minda, hari ini pada tanggal 21 Mac 2020, hari ke-4 Perintah Kawalan Pergerakan dan 33 hari menjelang sambutan bulan Ramadhan 1441H, kerajaan memaklumkan bahawa pada 22 Mac 2020 (Ahad) pihak Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia akan berkolaborasi secara bersepadu dalam sekatan jalan raya di seluruh Malaysia dalam usaha untuk mengekang aliran bebas rakyat Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan. Sepanjang perintah ini rakyat masih lagi boleh keluar daripada rumah untuk membeli barang keperluan harian namun harus membataskan pergerakan mereka. Ini hanya tertakluk untuk tempoh 2 minggu sahaja kerana mengikut kajian, tempoh hayat inkubasi Covid-19 adalah selama 14 hari. Jika peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan, hanya anggota Polis Diraja Malaysia sahaja yang membuat rondaan dan sekatan namun pada hari kelima perintah tersebut, mereka akan disertai oleh Angkatan Tentera Malaysia. Harus diingat penglibatan ATM bukan bermaksud Malaysia mengisytiharkan darurat tetapi ia adalah kerjasama bersepadu agensi kerajaan dalam menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan dan untuk mengekang penularan musuh yang tidak dapat dilihat ini. Untuk mereka yang bekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini, mereka perlu mendapatkan surat pengesahan daripada organisasi yang diwakili sebagai makluman dan bukti kepada pihak berkuasa sekiranya ditahan dalam sekatan.

Rakyat Malaysia perlu memahami akan usaha kerajaan yang sedang dijalankan ini. Sekiranya kadar patuh seluruh rakyat Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini masih lagi sekitar 60%-70% sahaja, maka kerajaan berkemungkinan akan mempertimbangkan untuk menambah cuti mandatori tersebut sebanyak 2 minggu lagi sehingga keberkesanannya dapat dilihat dan kes jangkitan Covid-19 menurun. Ini bermaksud bebanan kerja anda akan bertambah apabila kembali memulakan tugas di organisasi anda. Kita perlu berusaha untuk menjadi rakyat Malaysia yang patuh dan sayangkan masyarakat sekeliling. Tempoh 2 minggu ini akan berlalu pergi namun biarkan ia berakhir dengan kejayaan.

Ramai yang merungut berasa bosan duduk dirumah dan tidak boleh buat apa-apa yang menyeronokkan seperti membeli-belah, menonton wayang, dan berjumpa kawan-kawan, sebenarnya pelbagai aktiviti dalam rumah yang anda boleh lakukan bersama keluarga atau secara bersendirian. Anda boleh membaca buku, akhbar, menonton televisyen bersama keluarga, bersihkan halaman dan dalaman rumah, menulis blog, senaman ringan dalam rumah serta pelbagai aktiviti kemahiran atau ilmiah yang lain. Persoalan yang anda perlu lihat sama ada anda mahu ataupun tidak untuk melakukan semua itu. Alasan tidak akan membantu anda untuk berjaya namun usaha adalah tunjang kejayaan untuk kita semua.

Di akhir kalam, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak bersikap pentingkan diri sendiri. Berfikirlah secara matang kerana tindakan anda mungkin boleh mengakibatkan diri anda dan keluarga dijangkiti wabak Covid-19. Sekiranya anda masih lagi mahu melakukan aktiviti luar tanpa menghiraukan perintah kerajaan, adalah diharap anda membunuh diri kerana kebodohan anda akan merisikokan nyawa insan di sekeliling anda.

-Sekian-