BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 31, 2015

EmpaYar 2015 / 2016

Assalamualaikum umat 2015

Kehadapan warga netizen yang dihormati sekalian. Sudah bersawang jaringan diari elektronik saya ini dan ini menunjukkan bahawa sudah berbulan saya tidak mengemaskini entri terbaru dalam lapangan coretan saya ini. Saya memanjatkan syukur kehadrat Ilahi kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik dan berkeupayaan untuk berfikir melahirkan bait-bait ayat untuk dicacahkan di medan skrin maya.


Pada ketika jari-jemari saya ligat menaip setiap ilham kata-kata yang lahir dari benak fikiran saya ini, kita semua sudah pun menghampiri jam terakhir untuk meninggalkan tahun 2015 untuk selama-lamanya dan hanya satu jam memisahkan kita daripada menyambut kelahiran tahun baru 2016 masihi. Tanggal 31 Disember 2015 pada malam ini adalah hari terakhir kita semua berada di dalam tahun 2015 dan selepas ini ia akan pergi meninggalkan kita dan tidak akan kembali, sama seperti nyawa manusia yang pergi menyahut panggilan ajal. 

Angka 15 amat saya minati kerana tanggal kelahiran saya juga adalah 15. Saya amat minat dengan nombor 15 dan boleh dianggap ia adalah nombor kegemaran saya. Sejak dibangku sekolah dan alam menara gading, saya ada menyemat impian untuk menjadikan tahun 2015 sebagai tahun masihi terbaik dalam hidup saya. Syukur alhamdulillah impian yang saya tatang, mampu untuk saya realisasikan. Saya dapat menjadikan tahun 2015 ini sebagai tahun KEMAHUAN saya, dimana setiap yang saya sasarkan dalam hidup bujang saya ini, saya perolehinya walaupun berhabisan belasan ribu ringgit sepanjang Januari 2015 hingga ke Disember 2015. Sepanjang setahun memanjakan diri dengan pelbagai barangan dan kehendak yang saya tetapkan, saya tidak pernah rasa menyesal walaupun sebesar zarah sekalipun. Setiap insan mempunyai impian dan sasaran peribadi mereka tersendiri, begitu jugalah dengan saya yang sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam hidup ini.

2016 bakal menjelang tiba dalam tempoh masa kurang 40 minit lagi dan ia akan bersama kita semua untuk jangka masa 365 hari. Kehadiran tahun 2016 masihi ini pasti menjanjikan seribu satu rahsia dan pelbagai bentuk cabaran dalam kalendar kehidupan kita yang ternyata kita masih belum mampu menyingkap apakah yang akan berlaku dan bakal kita tempuhi selama satu tahun tersebut. Setiap yang akan berlaku, perlulah kita hadapinya dengan tabah dan melihatnya dari sudut yang luas. Usah memandang sesuatu itu dalam perspektif negatif, kerana ia akan mengganggu-gugat diri dan emosi kita.  Semoga kehadiran tahun baru ini dapat membawa sisi perubahan yang positif dalam kehidupan kita dan membentuk jati diri kita untuk menjadi hamba Allah yang taat kepada perintah-NYA dan sentiasa memburu keredhaan-NYA. amin.. 

Lincah kuku saya menari di atas lantai papan kekunci ini untuk menaip setiap buah fikiran yang dituai. Ia membawa landskap ingatan saya kembali ke alam sekolah menengah saya dahulu, di mana sejak dari tingkatan 2, saya akan menulis bingkisan memori saya pada setiap kali menjelang tahun baru. Pada kebiasaanya saya akan mula menulis pada malam tahun baru, 30 minit sebelum jarum jam menjengah ke detik 12 malam. Buku diari (kononnya) saya hanyalah buku matematik yang mempunyai kotak-kotak kecil untuk diisi nombor. Saya pasti anda dapat membayangkannya. Buku itulah yang saya gunakan untuk menulis setiap isi hati saya, sama ada gembira atau sedih, kenangan pahit atau manis. Buku diari remaja saya itu masih lagi saya simpan dengan rapi dan apabila membacanya kembali, bergenang air mata dan rindu akan kehidupan yang telah berlalu. Jika dahulu saya menulis di dalam buku matematik kecil itu dari awal menengah hingga tamat persekolahan kini, kehidupan saya dibawa arus teknologi moden, dan buku remaja saya itu hanya saya simpan sebagai kenangan serta perkongsian bingkisan hati untuk akhir tahun dan tahun baru saya kini saya sematkan di dalam paparan blog saya sahaja.

Semakin jauh melewati malam dan menghitung detik yang berlalu, kini tibalah kita di persimpangan 2015. Putaran bumi akan melengkapkan siri jelajah 365 hari sebentar lagi, dan ia akan memberikan tanggungjawab yang digalas selama setahun ini kepada tahun 2016. Terima kasih diucapkan kepada 2015 kerana menjadikan tahun ini sebagai kenangan terindah dalam hidup saya dan selamat tinggal diucapkan kepada 2015. Selamat datang dilemparkan kepada 2016, dan selamat hadir dalam kehidupan umat manusia sejagat. Semoga amanah yang diberikan kepada 2016 dapat kita sama-sama harungi dengan kecekalan dan kebahagiaan. InsyaAllah setiap yang berlaku tersimpan hikmah yang telah Allah tentukan. Semoga pengajaran yang kita perolehi sepanjang tahun 2015 akan terus tersemat dalam fikiran kita untuk dijadikan sebagai pedoman di masa hadapan. InsyaAllah. 

Sudah tiba masanya untuk saya mengakhiri nota tulisan saya untuk tahun 2015. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada setiap hamba Allah yang mengenali saya secara langsung atau tidak langsung. Ampunkan saya jika sepanjang kalian mengenali saya atau membaca ilham karangan saya, saya ada mengguris perasaan anda. Maafkan saya, kerana saya juga manusia biasa yang sering diburu oleh kesilapan diri dan bersesuaian dengan status kita sebagai manusia yang tidak sempurna. Jika ada salah dan silap, marilah kita bersama perbaiki dan membimbing antara satu sama lain. Semoga kita bertemu lagi di tahun 2016 dan selamat tinggal 2015 :)  Assalamualaikum 

-phared shakur-