BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 27, 2019

daRJat

Assalamualaikum

Salam sejahtera diucapkan kepada anda semua di luar sana. Selamat berhujung minggu melayari waktu bercuti daripada komitmen pekerjaan yang mencengkam dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta serta insan tersayang. Isilah masa yang ada bersama keluarga pada waktu cuti ini dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat, di mana perkara yang dilakukan tersebut akan mengeratkan ukhwah sesama ahli keluarga yang sedia terjalin. Bercerita tentang pekerjaan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh majikan, ia tidak akan habis untuk kita lunaskan. Jadi usah membebankan diri anda dengan memikirkan hal pekerjaan yang tidak sudah itu pada hari cuti yang penuh kenikmatan ini. Tidak kiralah dalam sektor pekerjaan apa pun atau posisi dalam organisasi yang kita sandang, kita perlulah menjadikan keluarga sebagai keutamaan. Usahlah abaikan keluarga hanya kerana kita mengejar pangkat dan ringgit dunia.

Saya yakin ramai di antara kita di luar sana yang menghadapi pelbagai ragam rakan sekerja mahupun kerenah boss di tempat kerja. Usah tertewas dengan ledakan amarah emosi yang sedang mengelegak di hati dengan masalah manusia tersebut. Terus jalankan tanggungjawab anda dengan penuh kesabaran. Apakah faedah yang akan kita peroleh dengan melayan spesis manusia yang sakit tersebut? Benar tahap kesabaran kita juga pasti akan menemui penghujung jika dibiarkan, namun dengan membalas setiap apa yang telah didajalkan kepada kita tidak akan membawa perbezaan pun antara kita dengan manusia yang sakit tersebut. Anjing akan terus menyalak walaupun tidak ada sesiapa yang mengacaunya. Jadi biarkan saja manusia yang berpenyakit mental dan hati bergelumang dengan masalah dirinya sendiri kerana jika kita tidak ambil peduli maka  mereka sendiri yang akan sakit hati secara berganda. Maka itu adalah cara pembalasan yang lebih efisen untuk mereka.

Syok Sendiri
Kita harus sentiasa menghormati orang di sekitar kita tanpa mengira agama, bangsa ataupun pangkat yang dikendong. Walaupun kita berjawatan tinggi, namun usah kita pandang sepi kepada tukang cuci atau 'pak guard' di tempat kita kerja. Hormatilah perasaan sesama manusia dan binalah kepercayaan dikalangan orang sekeliling kita. Perasaan tidak memilih bulu dan pangkat dalam kita berkomunikasi akan membawa diri kita lebih dihormati oleh orang lain. Terdapat sesetengah boss atau individu yang berjawatan tinggi terlalu sombong dalam perbualan dan tingkah laku. Ini bukanlah contoh yang bagus untuk dipertontonkan kerana orang akan mengata buruk akan perbuatannnya itu. Masyarakat atau orang yang bekerja disampingnya hanya akan menghormatinya berdasarkan pangkat yang dia sandang dan bukanlah kerana sifat pekerti peribadinya yang mulia. Semakin tinggi kita menghamburkan rasa hormat kita kepadanya akhirnya dia tetap akan menengking kita, memaki hamun dan tidak mempunyai nilai berdiplomasi dalam organisasi pekerjaan. Dia hanya pandai dalam bekerja tetapi tidak tahu untuk membina hubungan harmoni sesama rakan sekerja walau dia adalah boss. Adakah kita mahu menjadi individu seperti itu yang tidak mempunyai akhlak peribadi yang elok dalam bekerja? Tidak perlulah kita menjadi manusia yang dicerca di belakang dan di bodek apabila bersua muka. Biarlah kita dikenang kerana cara kerja yang bagus serta menjaga akhlak keharmonian sesama rakan sekerja yang lain. 

Wahai masyarakat siber semua, bertanyalah kepada diri sendiri, adakah kita mahu menjadi manusia yang dilihat kerana kebaikannya atau diingati kerana keburukan yang telah dilakukan? Usahlah terperangkap dengan darjat pekerjaan anda, jadilah manusia yang sentiasa tunduk kepada Allah, dan insyaAllah hati kita akan tunduk dalam kehidupan seharian. Tidak banyak yang mampu saya kongsikan pada kesempatan kali ini, apa yang saya coretkan hanyalah senario yang berlaku dalam kehidupan pekerjaan kita. Tabah dan Sabar semua :)

Salam..




0 comments: