BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, April 29, 2019

KisaH

Assalamualaikum

Jauh merantau ke pekan besar, ilmu disisir di dalam jati, selamat bertemu bersapa khabar, amalan yang baik simpan di hati. Mukadimah dimulakan dengan pantun walaupun tidak ada sesiapa yang membaca. Kita sudah pun berada di penhujung bulan April 2019. Cepat sungguh masa berlalu dan selepas ini kita semua akan menjengah ke bulan Mei 2019, di mana pada awal bulan 5 ini kita akan menyambut kehadiran bulan Ramadhan 1440H dan memulakan ibadah berpuasa. Semoga kita dipanjangkan usia untuk bertemu dengan bulan penuh rahmat ini. Dikesempatan yang ada ini ayuhlah kita bersama membulatkan tekad untuk menambah amal ibadah sepanjang bulan Ramadhan yang bakal menjelma kelak. Kita buang yang keruh dan ambil yang jernih, buang tabiat yang buruk dan perbaiki amalan yang baik. Ini bukanlah untuk orang lain tetapi ia adalah untuk diri kita dan bekalan saham akhirat kita kelak.

Dalam mengharungi urusan seharian dalam pekerjaan dan bersosial bersama teman, kadangkala kita seperti terpanggil dengan memori lama yang mengetuk minda secara tiba-tiba apabila kita terlihat sesuatu yang mungkin dekat dengan kita. Sedang duduk berseorangan di 'site' dan dipayungi khemah daripada terik mentari, saya mengisi masa yang terluang itu dengan menonton 'Youtube' bagi menghilangkan rasa bosan buat seketika. Saya menonton sebuah klip muzik video lagu, di mana kisah klip muzik video tersebut seakan sama dengan kisah realiti yang dihadapi sahabat saya dahulu. Sudah beberapa tahun kisah itu berlalu, namun ia sangat berbekas di hati kerana saya melihat sendiri bagaimana seorang wanita memperbodohkan seorang lelaki dengan cukup kejam. Itu hanya pada tafsiran saya yang melihat daripada kisah sahabat saya yang menjadi mangsa.

Sahabat saya bercinta dengan bekas kekasihnya sejak daripada zaman persekolahan dan akhirnya mereka melanjutkan pelajaran di IPTA di ibu negara. Walaupun mereka berdua bukan di dalam satu IPTA yang sama namun kedudukan institusi pengajian mereka masih di kawasan lembah Klang. Benar mereka dahulu belajar di dalam satu sekolah yang sama selama bertahun-tahun, namun mereka amat jarang sekali berjumpa dan berdating di 'mall'. Sepanjang usia perkenalan mereka di zaman persekolahan, saya hanya melihat sekali sahaja mereka keluar dan meluangkan masa di 'mall'. Setelah melanjutkan pengajian di menara gading walaupun berada di dua institusi yang berbeza, tetapi ia seperti dekat buat mereka berdua untuk bertemu seperti pasangan bercinta yang lain. Mereka berkesempatan untuk luangkan masa bersama pada hujung minggu dan mudah untuk bertemu. Secara kasarnya saya melihat ia adalah jarak yang jauh, tetapi pada sahabat saya dan pasangan pada waktu itu, ia adalah dekat untuk mereka, ditambah dengan jaringan pengangkutan awam yang luas di kawasan lembah Klang.

Pasangan bercinta mana yang tidak dibadai gelora dalam hubungan, saya akui sahabat saya tersebut juga mengalami gejala yang sama seperti insan bercinta yang lain. Pasang surut hubungan akhirnya mereka berdamai semula kerana kasih antara mereka yang begitu kuat. Namun pada satu hari hubungan mereka diuji lagi dan pada waktu itu bekas kekasih sahabat saya tersebut menyatakan ingin berpisah dengan dia kerana bekas kekasih sahabat saya itu sedang mengenali hati budi seorang lelaki yang juga rakan kelas beliau. Bekas kekasih sahabat saya itu 'crush' dengan rakan lelaki dia, dan si lelaki tersebut juga 'crush' dengan bekas kekasih sahabat saya. Akhirnya sahabat saya memutuskan hubungan dengan bekas kekasih dia kerana, wanita tersebut begitu berkeras untuk mengakhiri hubungan mereka. Mereka berdua membawa haluan masing-masing dan wanita itu memulakan hubungan dia dengan rakan sekelas dia itu.

Disangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Kehidupan percintaan bekas kekasih sahabat saya itu dengan rakan lelaki kelas dia tidak bertahan lama dan singkat, mereka juga akhirnya berpisah pada tahun yang sama atas sebab yang tertentu. Bagaimana kisah ini boleh di ketahui oleh sahabat saya? Ia diceritakan sendiri oleh rakan kelas wanita tersebut yang mengajak sahabat saya untuk bertemu di KLCC. Bagaimana rakan kelas wanita tersebut boleh menghubungi sahabat saya? Dia menghubungi sahabat saya melalui Facebook. Rakan sekelas wanita tersebut ceritakan segalanya kepada sahabat saya kerana dia kasihan dengan sahabat saya itu. Rakan sekelas wanita itu juga kenal dengan lelaki itu yang juga rakan sekelas dia.

Kemudian bekas kekasih sahabat saya itu bertemu cinta lagi dengan jejaka lain. Jejaka itu amat meminati beliau dan bersungguh-sunguh ingin berkenalan dengan wanita itu. Akhirnya wanita itu membukakan pintu hatinya untuk lelaki terbaru tersebut untuk memperoleh tempat di dalam hati dia. Sedang hangat dibuai perasaan cinta, tiba-tiba pada satu hari wanita tersebut menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai teman wanita kepada lelaki yang sedang bercinta dengan dia pada waktu itu. Alangkah terkejutnya bekas kekasih sahabat saya itu apabila mendapat tahu akan perkara tersebut. Wanita dan lelaki tersebut telah bercinta lama dan akhirnya bekas kekasih sahabat saya itu memutuskan hubungan dengan lelaki itu. Lelaki tersebut dengan wanita itu terus utuh menabur rasa bahagia dan hubungan mereka tidak terlerai. Bekas kekasih sahabat saya yang memendam perasan dan merasai sakit kerana seperti dipermainkan. 

Mungkin sebelum ini dia mempermainkan sahabat saya, di mana sewaktu masih dalam hubungan dengan sahabat saya, dia menuai perasan dengan rakan sekelas dia, dan akhirnya dia pula dipermainkan dengan lelaki yang berperwatakan seperti amat mencintai diri dia. Akhirnya segala perbuatan buruk yang pernah dia buat, beralih kepada diri dia pula apabila diperBODOHkan oleh lelaki lain. Paling malang kebodohan dia yang memakan diri sendiri, mungkin maruah pun sudah tidak berharga lagi. Pada saya kesakitan yang dia rasa pada waktu itu adalah kiriman daripada apa yang pernah dia buat pada sahabat saya.

Ini hanyalah sekadar putaran ingatan yang kembali ligat berputar dalam ruangan memori saya. Saya berkongsi sebagai satu bentuk pedoman, jadi ambillah iktibar daripada kisah ini dan hargailah setiap kebaikan yang telah diberi. Dengan ini, saya mengundurkan diri, semoga kita bertemu kembali di lain masa.

-salam-

0 comments: