BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, May 13, 2019

Ramadhan 1440H

Assalamualaikum

13 Mei 2019, Isnin kembalinya sekalian rakyat Malaysia mengembala keringat mencari rezeki di lapangan pekerjaan setelah 2 hari bercuti daripada kerja hakiki. Bukan soal kerja atau peristiwa hitam negara yang ingin ditulis dalam ruangan ini tetapi pada tarikh yang tertera diatas, hari ini merupakan hari ke-8 umat Islam khususnya di Malaysia berpuasa di bulan Ramadhan pada tahun ini, 8 Ramadhan 1440H. Selamat berpuasa diucapkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia, dan selamat meneruskan ibadah berpuasa yang baru memasuki minggu kedua pada tahun 1440H ini.

Semoga kehadiran Ramadhan pada tahun ini kita semua terus beristiqomah dalam beribadah kepada Allah siang dan malam serta memperbanyakkan amalan sunat di dalam Penghulu Segala Bulan ini. Usah menjadikan alasan bekerja dan aktiviti harian yang dilakukan sebagai penghalang untuk kita untuk beribadah dan menghambakan diri kepada-NYA. Daripada Dia kita datang dan kepada Dia juga kita akan pulang. Sambil membuat pekerjaan kita juga boleh berzikir di dalam hati atau pun lidah dengan menggunakan nada yang perlahan. Semua itu mudah untuk dilakukan, hanya kita sahaja selalu merasa berat dalam melakukan kebaikan kepada-NYA. 

Bulan puasa pun kena turun site,
telan air liur sajalah sepanjang masa
Selain daripada menunaikan solat fardhu di awal waktu, kelaziman di dalam bulan Ramadhan pada waktu malam kita semua akan mendirikan solat sunat tarawikh dan witir secara berjemaah di rumah-rumah Allah. Kekalkan momentum tersebut daripada awal Ramadhan hingga ke akhir Ramadhan, mudah-mudahan kita akan terus kekal mengerjakan solat secara berjemaah di masjid atau surau setelah berakhirnya Ramadhan. Seperti saya, tahun-tahun sebelum ini setiap kali menjelangnya Ramadhan, saya akan menunaikan solat sunat tarawikh di masjid dan surau yang berbeza pada setiap malam. Selalunya saya hanya pergi ke setiap destinasi rumah Allah itu secara bersendirian, cuma pada 2 tahun kebelakangan ini sahabat baik saya turut serta mengikut saya ke tempat-tempat yang berbeza. Alhamdulillah. Kenikmatan beribadah itu amat dirasai apabila saya solat ditempat yang berbeza-beza pada setiap malam. Sejujurnya kehadiran Ramadhan adalah bulan yang amat saya nantikan berbanding bulan Syawal yang dihiasi perayaan. Bukan setakat di masjid dan surau dalam daerah saya sahaja yang saya lawati untuk bersolat tarawikh berjemaah malah langkah saya juga panjang hingga ke daerah lain untuk bersolat dan melihat sendiri bagaimana umat-umat Islam di kawasan yang berlainan mengimarahkan Rumah Allah di dalam bulan yang mulia ini. InsyaAllah saya yakin ada rakan kita di luar sana membuat aktiviti yang sama juga malah lebih menarik untuk diteladani.

Bulan turunnya Al-Quran ini juga kita sepatutnya menghiasinya dengan alunan bacaan Al-Quran di sepanjang sebulan ia menjengah kehidupan kita pada tahun ini. InsyaAllah dengan kegigihan kita membasahkan lidah dengan bacaan Kalamullah itu mampu untuk mendidik hati kita menjadi insan yang lebih baik dan mencintai Allah serta Rasul-NYA. Semoga dalam sebulan yang penuh barakah itu kita mampu untuk khatam Al-Quran dengan jayanya. InsyaAllah. Setiap amal kita  di sepanjang Ramadhan ini, ianya dilipat gandakan ganjarannya oleh Allah, oleh itu adalah rugi sekiranya kita mensia-siakan peluang yang terbentang luas di depan mata. Ia adalah untuk diri kita di akhirat kelak. Di dunia mungkin kita tidak melihat kebesaran yang disediakan, di akhirat pasti kita dapat merasa apa yang telah kita kerjakan sewaktu hayat kita di dunia. 

Sebenarnya banyak pahala yang dapat kita kaut di sepanjang bulan Ramadhan dan pelbagai jenis kebaikan yang mampu untuk kita lakukan sendiri. Semua itu sudah ada di dalam kepala kita, persoalannya ialah adakah kita benar-benar menzahirkannya dalam bentuk perbuatan atau pun tidak. Usah terus terpesona dengan tipu daya dunia, sedangkan dunia ini akan berakhir sama seperti berakhirnya usia kita pada suatu hari nanti. Jadi rebutlah masa dan peluang yang ada dalam berlumba membuat kebaikan di jalan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui di atas setiap apa yang kita lakukan. Hanya sampai di sini sahaja perkongsian saya untuk kali ini, semoga pada lembaran akan datang Allah akan berikan ilham dan cetusan idea yang berbeza pula untuk saya karangkan. InsyaAllah.

-SalaM-


0 comments: