BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, May 20, 2019

Malas atau Rajin?

Assalamualaikum

Hari ini sudah menginjak masuk ke tarikh 16 Ramadhan 1440H, bermaksud kita semua sudah melepasi angka 2 minggu berpuasa di bulan Al-Karem ini. Diam tak diam, pejam celik pejam celik sudah berada di pertengahan Ramadhan dan tidak sedar betapa pantasnya masa berlalu meninggalkan kita. Anak-anak kecil pasti gembira dan tidak sabar untuk menyambut kedatangan 1 Syawal 1440H yang semakin menghampiri. Semua juga berasa teruja untuk berhari raya kerana dapat bertemu sanak-saudara yang jauh di mata dan menyambut ahli keluarga yang pulang daripada perantauan mencari rezeki kehidupan. Ini sebagai simbolik selama sebulan kita bertarung melawan godaan nafsu manahan lapar dahaga dan mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Mudah-mudahan kita dilimpahkan Rahmat dan diberi peluang untuk bertemu Penghulu Segala Bulan ini lagi pada tahun hadapan. Amin.

Iftar di Double Tree by Hilton
dengan pihak pemaju dan rakan sekerja
Bercakap tentang berpuasa, ramai antara kita sebenarnya menghadkan aktiviti harian mereka dengan alasan penat berpuasa dan tidak bertenaga. Usah menjadikan berpuasa itu sebagai tembok untuk kita terus bergiat aktif walaupun sedang berpuasa. Seperti saya, walaupun berpuasa namun pada waktu petang jika mempunyai masa terluang saya akan berjogging di sekitar taman perumahan atau di tempat rekreasi. Jarak saya berlari pada kebiasaannya adalah sama seperti pada waktu bukan bulan Ramadhan iaitu 5KM. Namun saya akan keluar berjogging dalam pukul 6:15PM atau 6:30PM dan apabila usai bersenam dan pulang ke rumah, waktu berbuka hanya selang beberapa minit sahaja. Berlari pada bulan Ramadhan pada saya sebenarnya memberikan saya lebih tenaga dan saya dapat habiskan larian saya lebih cepat berbanding pada waktu bukan berpuasa. Apa yang saya ingin sampaikan adalah, jangan menjadikan berpuasa itu sebagai penghalang untuk kita daripada terus melakukan rutin harian kita seperti biasa. Perkara yang baik itu perlu kita teruskan dan yang buruk itu kita tinggalkan untuk kesejahteraan diri sendiri. 

Banyak sebenarnya aktiviti baru yang kita boleh teroka dan jadikan sebagai budaya baru dalam kehidupan harian kita. Daripada terus melekat dengan membelek telefon pintar, kita boleh tukar sedikit norma tersebut dengan membaca buku, atau gunakan teknologi pintar tersebut dengan mencari bahan bacaan yang bermanfaat untuk menambahkan ilmu pengetahuan kita. Hendak menjadi lebih positif atau terus berada di takuk yang lama semuanya terletak pada diri kita sendiri. Pokok pangkalnya kita mampu mendidik hati ke arah yang lebih baik. Jadikan Ramadhan ini sebagai batu loncatan untuk memandu kita ke arah kebaikan di dunia dan akhirat. 

Akhir kata daripada saya, hargailah kehadiran Ramadhan ini dengan sebaik mungkin kerana bimbang kita tidak mampu untuk bertemunya lagi pada tahun berikutnya. Hargailah setiap masa yang kita ada dengan ibu ayah kita kerana tiada pengganti yang mampu mengambil tempat mereka apabila usianya sudah luput di dunia. 

-SalaM-

0 comments: