BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, July 28, 2012

insomnia

Kedinginan malam menangkap rapi segenap pelusuk tubuhku, sapaan bayu mengoncang helaian rambut kusutku dan menyentap lamunan fikiranku dari terus membelai bintang serta angan tidak ternoktah. Di malam hari, aku berwatak seperti seekor burung hantu yang memburu mangsa dan mencari sebuah agenda. Entah dimana silapnya dan dari mana puncanya, benak aku terus tersungkur hilang arah mencari petanda jawapan yang masih tidak terungkap bicaranya. Insomnia itu kembali menghantui diriku seperti zaman persekolahan yang telah lama berlalu dahulu. Mata ini tidak mampu untuk terlelap walau berjuta saat dan beratus minit aku simpan untuk bersama lena yang indah. Namun mataku masih lagi enggan bermanja layu untuk berehat. Inginku meronta tetapi tidak berdaya, ingin aku berkata tetapi tiada teman bicara, sudah lebih seminggu aku menjalar di dalam kotak kamar pada malam hari dan hanya mampu menyingkap gajet kecil yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat tanpa mengira masa, agarku mampu untuk menerjah ke susur siber, menghiburkan diri yang dirundung sengsara. Pada setiap waktu petang walaupun berada di bulan Ramadhan, aku terus berlari dan bersenam, namun apabila tiba waktu malam untuk beradu, aku tidak mampu untuk tidur seperti ahli yang lain. Selepas panggilan Subuh menjalankan tugas pertama dan selesai menunaikan kewajipan pertama dari tiang yang lima, barulah aku mampu untuk melelapkan mata dan terlena. Benar aku isi slot permasalahan itu dengan membaca Kalamullah dan membasahkan lidahku dengan Zikrullah, tetapi bimbang jika terus dihimpit dengan desakan insomnia ini, jadual kitaran harian hidupku akan menjadi tidak terurus dan kucar-kacir.


Detik malam mengundang pelbagai cetusan emosi, menerpa bermacam rencah kenangan lama yang rancak berdansa di benak fikiran sambil mengusik runtunan jiwa. Yang indah dan yang suram saling bertukar bayangan untuk melobi ekspresi hati dan senyuman. Lebih berirama jiwa apabila kita persetankan semua hamparan kenangan yang hadir untuk bermain dengan minda, penuhkan aktiviti malam ini dengan perkara yang lebih bermanfaat untuk diri sendiri agar apa yang kita lakukan itu mampu untuk menjadi pemangkin semangat serta ilmu pada masa hadapan. InsyaAllah. Seorang guru pernah berkata pada seorang pelajarnya yang bersongkok, pelajar itu memang pendiam dan jarang untuk menguntum senyuman. Pesan guru itu, pendidikan itu akan tetap menjanjikan masa depan yang lebih cerah dan cemerlang. Guru itu sangat memahami pelajar tersebut dan sehingga ke hari ini beliau masih mengingati pesanan gurunya itu. Pesanan itu telah dia jadikan sebagai tali penyimpul ikatan azam sehingga ke peringkat universiti dan dalam sisi kehidupannya.


Harus kita fahami, setiap yang menghirup udara di dunia ini akan berhadapan dengan pelbagai masalah, sama ada kecil atau besar. Jika hari ini aku mengeluh dan mengatakan insomnia merencatkan perjalanan rasional hidupku, aku sendiri akan tersentak kerana di luar sana masih ramai lagi yang berperang dengan asam garam kehidupan yang sama. Setiap yang berlaku telah direncanakan dan aku yakin Yang Esa sedang menguji diriku, begitu juga pada sekalian manusia yang masih bergelumang dengan hiruk pikuk noda dan dusta. Pernah diriku bertanya, adakah dunia ini bersikap kejam pada isi di dalamnya dan tidak berlaku adil? Rupanya aku hanya memperbodohkan diriku yang sudah pun jahil, yang bersikap kejam dan tidak adil adalah manusia itu sendiri, dan jika kita mempersoalkan dunia, itu bermakna aku mempersoalkan urusan Allah. Hina sungguh intelek pemikiran aku yang cetek iman dan ketandusan pedoman. Biarkan yang berlalu terus berlalu,jangan di usap dan dijaga jejaknya. Masalah yang dihadapi ini akan terus aku tempuhi dan yakin kekuasaan Allah akan merubah segalanya.InsyaAllah..amin..


assalamualaikum
~phared shakur~

0 comments: