BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, July 25, 2012

polemik isu

Assamualaikum dan salam seribu sujud di bulan Ramadhan. Alhamdulillah hari ini sudah memasuki hari kelima kita berpuasa di dalam bulan turunnya Al-Quran. Syukur Alhamdulillah. Aktiviti harian saya masih sama seperti biasa dan bertenaga melayari saat-saat kehidupan seharian. Walaupun dalam keadaan berpuasa menahan lapar dan dahaga saya masih lagi melakukan rutin harian pada setiap petang iaitu berjogging sejauh 5-6 kilometer dan membaca buku untuk menambahkan ilmu pengetahuan pada setiap selepas Zohor. Itulah cara saya mengisi masa lapang dan tidak membiarkan masa yang ada dibazirkan sebegitu sahaja kerana apabila ia pergi meninggalkan kita, masa itu tidak akan kembali lagi, kerana ia terus berlalu untuk selama-lamanya dan hanya akan kekal sebagai lipatan kenangan dalam hidup kita. Azam saya pada bulan penuh barakah ini masih lagi sama seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu ingin khatam 30 juzuk Al-Quran. Mungkin tahun lalu saya dapat khatam sebanyak 2 kali kerana saya manfaatkan waktu cuti yang ada sebelum kehadiran bulan Ramadhan dan diteruskan sehingga ke akhir bulan mulia tersebut. Namun pada tahun ini saya menikmati alunan bacaan Al-Quran selepas detik tengah malam dan disambung semula selepas Subuh. Bukan mahu untuk bersikap hipokrit dan bermegah dengan amalan yang dilakukan, tetapi ini adalah amalan yang saya praktikkan untuk menampung segala kelemahan yang ada pada diri serta mendidik diri ini agar sentiasa menginsafi segala kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan sepanjang hari dari segi luaran dan dalaman. Ini juga sebagai satu cara saya mempromosikan amalan membudayakan Al-Quran dan meningkatkan amalan di dalam bulan yang penuh keajaiban ini. Kita dapat lihat golongan remaja dan belia pada hari ini lebih kerap membuka rangkaian media baru laman sosial seperti Facebook, Twitter, Tumblr, dan menonton televisyen daripada membuka naskah Al-Quran Kalamullah, mukjizat nabi Muhammad s.a.w yang kekal sehingga hari kiamat untuk kita menjadikan panduan hidup dan pegangan. Oleh itu sebagai khalifah akhir zaman, marilah kita bersama berpadu usaha mengembleng masa dan tenaga memacu diri dan keluarga memanfaatkan setiap isi hari yang ada pada bulan ini untuk beribadat dan menutup segala kekurangan yang ada demi menjadi insan yang lebih beriman dan beraklah disamping menanam tekad memburu malam Al-Qadar. InsyaAllah. 


Panjang sungguh mukadimah yang saya tuturkan dalam baris ayat di atas. Isu dan topik yang ingin saya kupaskan dalam ruangan ini adalah berkaitan lagu dan mesej tersirat yang cuba dikongsikan oleh seseorang pengubah lagu dan pencipta lirik dalam buah tangan terbarunya. Pasti anda semua pernah mendengar bait lirik ini; "bawa aku pergi, pacu laju-laju kita lari dari realiti". Baris lirik itu terkandung dalam lagu yang bertajuk 'Bawaku Pergi' dendangan Zizan bersama KaKa. Lagu tersebut sepatutnya dinyanyikan oleh Malique bersama Ella, tetapi diberikan kepada Zizan kerana beliau tertarik dengan lagu tersebut serta tidak timbul langsung tentang 'NIAT" lagu tersebut. Lagu tersebut sedap untuk didengar dengan melodi yang santai dan menangkap halwa telinga pendengar. Namun mungkin ada yang masih tidak mengetahui bahawa lagu ciptaan MaliQue (Too Phat) itu telah diharamkan penyiarannya dari diputarkan dicorong-corong radio. Lagu ini diharamkan kerana mendapat gesaan daripada Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali. Beliau berpendapat lagu itu mengandungi unsur negatif yang boleh mendorong remaja untuk lari dari rumah. Adakah telahan ini berasas wahai pemikir veteran? Maaf kerana tidak bersetuju dengan pandangan beliau. Pada hemat saya isu remaja lari dari rumah mengikut teman lelaki, kahwin lari di selatan Thailand, ataupun dilarikan rakyat asing ke Lombok, Indonesia sudah kerap dipaparkan di kaca televisyen dan dada akhbar sebelum lagu tersebut diputarkan pada alat teknologi suara lagi. Isu itu telah lama berlaku di negara kita dan jika lagu tersebut tidak dimainkan lagi atau tidak pernah  wujud sekalipun perkara remaja lari dari rumah akan tetap berlaku di seluruh negara. Adakah pihak terbabit cuba membangkitkan perkara lapuk yang umum sudah mengetahui dan mencipta 'kambing hitam' untuk dipersalahkan di dalam mana-mana persidangan  ataupun forum? Tidakkah pihak berkenaan merasa tindakan tersebut telah menindas pihak pencipta lagu tanpa membawa perkara itu ke muka pengadilan dan meminta penjelasan dari pengkarya lagu terbabit terlebih dahulu? Perkara ini ternyata telah menabur pasir ke periuk nasi seseorang dan bersikap kebudak-budakkan. Keputusan telah dilakukan oleh individu, panel yang tidak adil, cetek ilmiah dan berkepentingan politik.


Lagu 'Bawaku Pergi' berkisar mengenai kehidupan MaliQue sendiri yang telah berkahwin selama beberapa tahun dan telah dikurniakan cahaya mata perempuan hasil perkongsian hidup bersama isteri yang juga seorang aktres bernama Melissa Maureen Rizal, tetapi masih sibuk dengan kerja dan jarang-jarang dapat peluang bersama isteri. Lagu ini dicipta dari 'point of view' si isteri untuk suaminya. Sang isteri berangan-angan mahu bercuti ke Tibet/Nepal sebagai tempat berbulan madu dan kerana itulah terdapatnya ayat 'puncak dunia kita duga'. Jika seseorang mempunyai asas geografi di zaman persekolahannya pasti akan mengetahui bahawa puncak dunia yang dimaksudkan terletak di banjaran Himalaya atau lebih dikenali sebagai 'Bumbung Dunia' iaitu Everest. Di situ juga wujudnya haiwan mitos bernama Yeti yang dikatakan mendiami tanah tinggi di situ. Malique sendiri selalu berimpikan untuk pergi ke Indochina menggunakan jalan darat dan dari situlah terciptanya bait 'pergi lebih lama, pergi lebih jauh'. Saya yakin Malique menulis lirik tersebut sebagai seorang dewasa yang tiada niat negatif untuk disebarkan dan setiap orang mempunyai impian dan angan-angan dalam hidup. Kita harus sedar garis sempadan dunia hidup kita di Malaysia tidak hanya berakhir di Siam tetapi masih ada beratus negara yang ada di luar sana untuk kita jelajah dan terokai.Setiap orang ada kebebasan untuk bersuara dan menceritakannya kepada sesiapa yang dia berkehendakkan. 


Apa yang terjadi pada hari ini adalah hasil karya seseorang itu telah dihukum tanpa keadilan. Jika kita berfikir dengan positif sebelum melatah kerana selalu bersikap negatif dan lemah pemikiran seperti yang terjadi pada pemikir veteran tersebut, jika kita sudah membesarkan anak selama berbelas tahun atau 20 tahun tetapi anak tersebut hanya mendengar lagu yang hanya berdurasi 4 minit, adakah dia sudah lari dari rumah? Pakcik perlu sedar bukan semua benda di dunia ini berniat untuk mencederakan pakcik dan keluarga pakcik. Itu cuma hanyalah sebuah lagu dan mendapat kelulusan dari pihak yang berwajib. If you don't like a certain food, you just leave it. You don't go around telling the whole country that they shouldn't taste it too. To whomever it may concern, you can start by being fair if not smart. Don't let the world laugh at you over another childish issue blown out of proportion.


Saya beranggapan bertitik tolak dari kes pengharaman lagu inilah Malique telah mencipta lagu 'Aku Maafkan Kamu' lagu duet beliau bersama Jamal Abdillah sebagai luahan beliau kepada pihak yang mengusulkan isu tersebut. Persoalan yang timbul sekarang adalah siapa yang sebenarnya negatif?
Saya sekadar meluahkan rasa tidak puas hati di dalam lapangan blog ini dan saya memihak kepada MaliQue kerana beliau tidak bersalah dan ditindas secara terang-terangan tanpa disoal siasat di muka pengadilan. Ini hanya dari perspektif saya dan mungkin berbeza dengan tanggapan anda, dan saya mohon maaf jika coretan saya ini mengguris perasaan dan hati para pemerhati di luar sana. Segala teguran anda saya ambil untuk kebaikan di masa hadapan. InsyaAllah. Assalamualaikum


~phared shakur~

0 comments: