BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, March 11, 2013

15 FebruarY

Assalamualaikum dan salam jalinan ukhwah antara manusia serta sahabat. Mengambil masa yang lama untuk saya mengemas kini  halaman diari siber ini setelah kali terakhir merangka tulisan pada Aidilfitri yang lalu. Sudah bersawang dan berkarat atmosfera di ruangan ini. Di kala petang menjengah dan kelapangan waktu mengheret minda untuk berkarya, saya meringankan jemari untuk kembali menyusun kata berdialog dengan diri sendiri serta dikongsikan di dalam kotak media ini. Tajuk yang saya usulkan adalah kombinasi nombor dan juga bulan. untuk pengetahuan minoriti yang mengetahui rangkaian saya ini, 15 FebruarY adalah bulan serta tarikh kelahiran saya di dunia ini, namun tahun sebenar kelahiran saya, saya rahsiakan. Saya bukanlah orang tua tetapi yang pasti saban tahun, angka usia saya akan menghampiri hari tua. 


Pada tahun ini (2013) 15 FebruarY jatuh pada hari Jumaat, iaitu Penghulu Segala Hari. Alhamdulillah dan syukur saya panjatkan kepada Allah S.W.T, kerana masih diberi peluang meminjam nafas untuk hidup setahun lagi di atas muka bumi ini. Alhamdulillah. Sesungguhnya kuasa Allah itu Maha Besar dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa pun. Melalui post 15 FebruarY ini juga adalah nukilan pertama saya untuk tahun baru 2013. Saya bersyukur kerana dikurniakan oleh ahli keluarga yang saling memahami dan menyayangi antara satu sama lain. Saya yakin keluarga anda diluar sana juga memainkan rutin yang sama. Walaupun usia sudah meningkat dan hampir memasuki usia belia, namun ahli keluarga tetap mengingati tarikh  kewujudan saya di dunia ini. Alhamdulillah. Tidak terhad kepada keluarga sahaja, malah rakan-rakan yang lain juga mengingati tarikh hidup saya ini. 

Pada pagi Jumaat lagi, mak cik saya dan pak cik sudah datang ke rumah dengan membuat pra-kejutan kepada saya semasa saya mandi pagi. Pada waktu itu mereka membawa dan membuat sedikit jamuan makan-makan yang melibatkan ahli keluarga tetapi sehari sebelum itu mereka sudah memberikan hadiah pakaian kepada saya. Selesai menunaikan solat Jumaat di masjid, saya bergegas ke bandar pula untuk berjumpa dengan rakan-rakan yang lain, dan di situ juga terdapat kejutan walaupun saya boleh meneka pada awalnya. Rakan-rakan menyambut hari jadi saya di Mc Donald dan semua perbelanjaan itu atas inisiatif mereka sendiri, saya cuma hadir untuk makan sahaja. Saya lebih suka Kenny Rogers, tetapi oleh kerana restoran makanan segera McDonald tersebut adalah cawangan baru yang baru dibuka di atas tanah yang luas, maka mereka sepakat untuk menyambutnya di situ. Menurut salah seorang pekerja  di situ, sambutan hari kelahiran saya itu adalah antara yang pertama disambut di situ. Sebelum itu ada sepasang kekasih yang menyambutnya di situ. Selesai sambutan bersama rakan-rakan, ada antara mereka yang memberikan hadiah dan pastinya terdapat juga coklat yang diberikan, kerana mereka sedia maklum bahawa saya memang hantu coklat. Alhamdulillah kerana dikurniakan rakan-rakan Realiti dan Maya yang berbudi akhlak dalam persahabatan.

Pulang sahaja ke rumah, selesai menunaikan solat Maghrib, ahli keluarga di rumah pula menyambut sambutan hari lahir saya, dan majlis ini melibatkan keluarga mak cik, pak cik, sepupu dan juga keluarga saya yang lain. Meriah sungguh suasana pada malam itu semata-mata mahu meraikan hari ulang tahun seorang pemuda yang sudah "TUA". Saya tidak mengharapkan sambutan yang besar kerana terasa sedikit malu kerana telah dewasa, tetapi mungkin kerana saya anak bongsu, jadi keraian itu sedikit istimewa. Tapi pada pengamatan saya, pada tahun-tahun akan datang mungkin tidak akan ada lagi sambutan seumpama itu atau sukar untuk berbuat demikian lagi. Sambutan pada malam tersebut melibatkan pelbagai jenis makanan, dan satay adalah menu wajib yang perlu ada dalam keluarga kami. Kek mungkin menjadi keterujaan para kanak-kanak, tetapi bagi kelompok dewasa Kek yang tersedia cukup sekadar untuk menjamah rasa sahaja. Begitulah layanan yang telah diberikan oleh ahli-ahli keluarga yang lain kepada saya yang dapat saya kongsikan dengan khalayak sekalian walaupun pada awalnya saya beranggapan ahli keluarga yang lain lupa akan tarikh penting dalam hidup saya itu, kerana tidak ada seorang pun yang mengucapkannya kepada saya pada malam sebelum itu. Tetapi itu semua hanyalah khayalan nakal mainan minda saya sahaja. 

Syukur kepada Allah S.W.T, kerana mendapat keunikan pada hari lahir tahun ini. Dalam masa satu hari, sebanyak 3 kali sambutan hari lahir saya yang diraikan oleh mereka yang berdiri kukuh dibelakang saya. Ini adalah kenangan indah yang akan terpatri kukuh di dalam ingatan saya sepanjang hidup ini serta akan saya kongsikan kepada generasi keturunan saya, In Shaa Allah. Semua ini adalah ketentuan yang berada dalam kekuasaan Allah. Saban tahun angka usia kita semakin bertambah dan itu adalah realiti yang menerangkan bahawa umur kita semakin singkat untuk hidup di dunia ini. Setiap hari yang berlalu telah mencuit minda kita bahawa hari kematian semakin menghampiri kita dan Malaikat Maut itu memandang kita sebanyak 77 kali dalam sehari. Saya tidak mengharapkan majlis atau keraian majlis yang besar kerana pertambahan usia saya ini, cukup sekadar rasa syukur kepada Allah , kerana masih diberi peluang untuk mengumpul amalan sebelum menghadap-Nya pada suatu masa yang PASTI nanti. Ini hanyalah sebuah bingkisan ringkas yang berlaku dalam hidup saya yang dapat saya kongsikan untuk menjadi tatapan umum. Mana yang baik itu, ambillah sebagai panduan, dan mana yang tidak bagus itu buanglah jauh, tetapi tegurlah kesalahan saya itu dan jangan menghukum, kerana saya juga manusia lemah yang sentiasa diburu kesilapan dalam hidup. Sekian untuk naskah kali ini. Assalamualaikum wahai sahabat :)

~phared shakur~


0 comments: