BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, March 27, 2013

MinDa uSanG

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Assalamualaikum diucapkan kepada masyarakat teknologi media yang sering meneroka pelbagai cabang informasi yang terdapat di dalam dunia tanpa sempadan ini. Syukur Alhamdulillah kita masih diberi peluang untuk berpaut di ranting kehidupan ini dan mengumpul segala bekalan untuk dibawa ke dahan kehidupan akhirat yang kekal abadi. Masa yang kita miliki di dunia ini harus dimanfaatkan dengan melakukan pelbagai aktiviti yang baik untuk kehidupan kita di dunia dan di akhirat. Ini sahaja kesempatan yang kita miliki sebelum kita menghembuskan nafas kita yang terakhir di muka bumi ini. Selepas semua sudah dimuktamadkan, kita akan kembali kepada Allah dan jasad kita akan disemadikan di dalam tanah sebagai bahan santapan cacing. Kematian itu adalah perkara yang PASTI akan berlaku kepada setiap makhluk yang hidup. Kita selalu melupakan maut tetapi MAUT tidak pernah melupakan kita kita. Malaikat Maut memandang kita 77 kali dalam sehari. Itu bermaksud ajal sentiasa hampir dengan kita tanpa kita sedar. Oleh itu janganlah kita menangguhkan perkara-perkara yang baik yang boleh menjana pahala di kanan bahu kita, kerana kita sendiri tidak tahu bila kematian itu akan datang menjemput kita. Perbaiki diri dan amal ibadat untuk menjadi manusia yang lebih baik dan beriman kepada Allah. Hidup kita di dunia ini adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah. Daun dari pokok di syurga yang gugur bermaksud, satu nama telah tertulis untuk diambil nyawanya dan kita tidak tahu bila daun yang mewakili diri kita akan gugur. Allah itu Maha Hebat dan perancangan-Nya adalah lebih terbaik daripada makhluk yang wujud di alam semester ini. Sahabatku yang baik sekalian, kita sendiri tidak dapat menjamin dan menduga apa yang akan berlaku pada hari esok, mungkinkah hidup atau sebaliknya. Allah sentiasa menerima taubat hamba-hamba-Nya, dan jangan sesekali fikir yang kita akan dapat menemui hari tua untuk melakukan taubat. Semasa badan kita sihat inilah kita perlu meningkatkan ibadah kepada Allah dan mengembleng semua ilmu agama yang ada disamping memburu ilmu dunia yang datangnya daripada Allah juga.

Alhamdulillah, pada minggu lalu sekali lagi saya telah selamat khatam Al-Quran. Syukur Alhamdulillah. Saya mengamalkan membaca Al-Quran setiap kali selepas solat fardhu. Namun jika saya menunaikan solat secara berjemaah di rumah Allah, saya akan membaca Kalamullah pada waktu tengah malam di rumah dan kemudian akan disambung dengan menunaikan solat sunat Hajjat. Saya tidak berniat untuk riak dengan apa yang saya lakukan, tetapi kita harus sedar bahawa lidah kita ini perlu dibasahkan dengan bacaan suci ayat Al-Quran. Bukan saya seorang sahaja yang mengamalkan tetapi saya yakin kamu di luar sana juga melakukan perkara yang serupa. Perkara yang baik itu, perlu kita kongsikan dan bukan disimpan hanya untuk diri sendiri. Kita sentiasa mempunyai masa untuk mendekatkan diri kepada Allah kerana setiap manusia mendapat peruntukkan masa yang sama iaitu 24 jam sehari, bezanya antara kita bijak membahagikan masa itu dengan bijak atau pun tidak. Semua orang juga bekerja dan belajar serta mempunyai rasa penat seperti orang lain, tetapi adakah sukar untuk meluangkan 10-15 minit untuk berdialog kepada Allah dan memuji kekuasaannya? Apabila kita sudah meninggalkan dunia ini, kita tidak akan mempunyai sedikit pun peluang untuk kembali ke dunia untuk beramal ibadat. Marilah kita muhasabah diri dan melihat setiap kekurangan dalam diri, biarkan apa orang nak kata tentang perubahan diri kamu yang mendekatkan diri kepada Allah kerana kita sentiasa tidak akan mampu untuk memuaskan hati setiap individu yang lain. 

Semua manusia mahu berjaya dalam hidup dan dalam setiap pekerjaan yang dia lakukan. Allah kurniakan kepada kita akal untuk meneroka ciptaan-Nya yang Maha Luas. Semua itu adalah ilmu yang perlu kita belajar. Tetapi akal kita ini terbatas dan tidak akan mampu untuk menandingi kebijaksanaan Allah. Jangan tersalah menggunakan kebijaksanaan dan anugerah akal yang telah diberikan oleh Allah kepada kita. Hari ini banyak kebinasaan telah berlaku di dunia mahupun dalam kehidupan sosial masyarakat. Ini adalah daripada sikap manusia itu sendiri kerana telah gagal dalam mengoptimumkan fungsi akal yang sebenar. Inilah tanda-tanda kiamat yang sudah muncul di akhir zaman. Jangan kita terus leka dan lalai dengan keindahan hidup di dunia ini ternyata bersifat sementara sahaja. Dalam setiap perbuatan, kita perlu mendapatkan restu daripada ibu dan bapa yang telah mendidik dan membesarkan kita di dunia ini. Keredhaan Allah itu datang daripada restu kedua ibu bapa kita. Hargailah orang tua kita sementara hayat mereka masih ada di dunia ini dan jangan sesekali abaikan atau sia-siakan setiap pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk diri kita. Tanpa restu mereka, kita tidak akan berjaya, tenteram ataupun bahagia. Ibu dan bapa sentiasa mendoakan kejayaan serta kebaikan untuk diri kita, tanyalah kepada hati anda sendiri adakah anda sentiasa mendoakan kesejahteraan hidup mereka di dunia dan akhirat dalam setiap 5 waktu sehari semalam? 

Jika anda berasa gusar dan gelisah, titipkanlah zikir di bibir dan lidah. Itu adalah lebih baik daripada anda mencari keseronokan yang bersifat sementara. Ini sahaja perkongsian minda
yang dapat saya coretkan kepada tetamu alam maya saya. Saya bukanlah manusia yang baik atau alim, tetapi saya sentiasa mencuba untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Orang yang membaca boleh berkata apa sahaja yang mereka suka, tetapi saya yakin mereka juga akan menjadi lebih baik daripada semalam. Saya tidak minta pujian ataupun penghargaan, saya cuma ingin berkongsi sesuatu kebaikan tanpa mengharapkan sebarang balasan. Allah itu Maha Mengetahui. Sekian wahai sahabat sekalian. Assalamualaikum :)

~phared shakur~

0 comments: