BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, March 13, 2013

9 march

Assalamualaikum dan salam permuafakatan dilontarkan. Alhamdulillah kerajinan dalam diri untuk mengemas kini aktiviti dalam ruangan blog semakin bertambah, tetapi ini mungkin hanya bersifat sementara. Tetapi harapan yang sentiasa dipupuk dan diusahakan adalah menjauhi rasa malas serta sentiasa meningkatkan tahap kerajinan. Perkara ini bukanlah tertumpu kepada diri saya seorang tetapi juga adalah keinginan setiap individu yang ingin berjaya di dunia ini dan saya yakin, anda di luar sana juga berfikiran begitu. In Shaa Allah.  
9 Mac adalah tanggal dalam kalendar yang akan muncul pada setiap tahun. Mungkin juga pada tarikh tersebut, ada diantara kita yang akan menyambut hari bahagia seperti hari lahir, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya. Kisah saya pada detik 9 Mac bukanlah perkara yang mengembirakan tetapi perlu diterima dengan redha kerana ketentuan Ilahi yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Pada tanggal 9 Mac 2012 hari Jumaat, saya telah kehilangan seorang rakan karib semenjak dari kecil hingga ke hari dewasa ini. Beliau pergi  meninggalkan dunia ini untuk selama-lamanya. Fauzan bin Mohamed adalah insan bongsu dalam keluarga sama seperti saya,telah terlibat dalam kemalangan motosikal di kilometer 138 lebuh raya utara-selatan berhampiran hentian rehat Pagoh. Kehilangan beliau amat dirasai oleh saya dan menyentap semangat saya untuk hampir setahun. Kami berkawan sejak dari kecil dan hubungan ini sudah seperti adik-beradik. Namun Allah lebih menyayangi beliau. 2 minggu sebelum itu kami sempat meluangkan masa dengan pergi memancing bersama-sama dan mendapat ikan yang besar. Masa yang kami luangkan itu sangat girang dan pelbagai kisah kami kongsikan kerana sudah lama tidak bertemu kerana komitmen terhadap pelajaran. Beliau juga kenal ibu bapa saya dan kerap berbual dengan mak saya. Sewaktu berita kematian beliau diberitahu, ibu saya menangis seperti kehilangan anak kandung, begitu juga ayah saya, tapi inilah rancangan Allah yang tidak akan dapat kita duga. Sewaktu bertemu bermacam-macam perkara yang telah kami rancang untuk luang cuti bersama, seperti menghadiri majlis perkahwinan rakan kami di Terengganu pada bulan Mei, bercuti di pulau dan membuat barbecue. Pada bulan Januari sebelum itu kami menyambut hari lahir 'girlfriend' beliau, pelbagai makanan yang dijamu dan semua itu adalah modal arwah Fauzan. Beliau sangat baik dengan saya dan menjaga saya sehinggalah ke peringkat universiti walaupun berbeza lokasi. Orang lain mungkin melihat beliau seorang yang bengis dan kasar, tetapi beliau baik. Hanya mereka yang kenal dan rapat dengan beliau akan tahu perangai beliau yang sebenar. Luaran tidak akan dapat mengambarkan sifat seseorang itu yang sebenar.
Saya dan arwah kerap luangkan masa dengan bermain badminton bersama-sama, kerana kami biasa berpasangan untuk beregu. Kami sudah arif dengan cara permainan masing-masing, sehingga kami mampu mendapat tempat ke-4 untuk acara beregu badminton peringkat sekolah di daerah kami. Hanya kami berdua sahaja peserta Melayu yang mampu sampai ke peringkat separuh akhir. Kami berdua akui lebih selesa berganding berdua sewaktu bermain badminton, walaupun bermain dengan rakan-rakan yang lain. Mungkin keserasian ini telah terjalin semenjak kami kecil lagi. Kini semuanya sudah berubah, dan raket dirumah saya sudah lama tidak dihayun. Selepas kematian arwah, saya tidak lagi bermain badminton, kerana sedih dan belum cukup semangat untuk bermain lagi. Saya perlukan sedikit masa lagi untuk bermain semula dengan rakan-rakan yang lain. Saya redha dengan ketentuan Ilahi dan walaupun dia sudah tiada, setiap hari saya sentiasa teringatkan arwah dan setiap waktu saya akan mendoakan kesejahteraan arwah di SANA. Saya yakin setiap yang hidup akan merasai mati, dan mungkin tidak lama lagi ajal saya pula yang akan menjelma. Ini semua adalah takdir Allah. Hargai masa yang anda miliki dengan mereka yang tersayang sebelum mereka pergi meninggalkan kita untuk selamanya. Sampai di sini sahaja coretan saya pada kali ini. 

Saya akan sentiasa merindui Fauzan bin Mohamed; Al-Fatihah

0 comments: