BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, August 29, 2012

Hari Raya Aidilfitri: Salam Lebaran

Assalamualaikum kepada semua muslimin muslimat, mukminin dan mukminat serta tidak lupa kepada mereka yang sama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri pada tahun ini, tidak kira bangsa dan agama. Dalam gelak dan tawa, tanpa disedari kita sudah pun melangkah ke 11 Syawal. Syukur Alhamdulillah kerana kita semua dapat meraikan hari kemenangan ini setelah sebulan berperang dengan hawa nafsu. Ramadhan, bulan seribu sujud berakhir di ruang kesyukuran. Syawal hadir mengambil tampuk pemerintahan diseling girang kemeriahan. Maaf Zahir dan Batin diutus sebagai pengganti, salah dan silap jangan di simpan dalam hati. Hidup berpasangan Mati, Pahala berpasangan Dosa, Gembira berpasangan Sedih, Marah berpasangan Ampun. Manusia sentiasa diburu kesilapan, segala keterlanjuran dalam perkenalan, diharap lebur Khilaf itu ditapak tangan walau tidak dapat berjabat mesra. Salam Hari Raya Aidilfitri daripada Phared Shakur si pengemis keampunan diucapkan kepada semua. Pasti kita semua sibuk melakukan pelbagai persiapan untuk menyambut kedatangan hari lebaran, daripada menghias rumah sehinggalah kepada persalinan baju untuk dipakai pada pagi raya. Anak-anak kecil adalah insan paling gembira, kerana mereka tahu bahawa poket mereka akan berisi dengan duit raya. Indah sungguh zaman semasa kecil. 


Saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Ilahi kerana pada tahun ini sekali lagi saya bersama ayah dan para jemaah yang lain dapat mengalunkan bacaan Takbir di surau pada malam raya dan pada pagi raya. Saya akui sewaktu mikrofon dihulurkan ke tangan saya untuk melaungkan takbir pada malam raya, rasa gugup itu masih lagi sama seperti tahun yang lalu. Namun saya dapat atasi rasa gemuruh itu dengan baik, berbekalkan pengalaman yang telah diperoleh sebelum ini. Pada pagi hari raya, sekali lagi rezeki memihak kepada saya apabila dapat duduk di barisan saf kedua dan sekali lagi berpeluang untuk bertakbir serta disambut oleh beratus jemaah lain yang berada di luar dan di dalam surau. Alhamdulillah. Pada malam raya seperti yang kita ketahui di surau-surau dan di masjid, kehadiran jemaah pada malam raya adalah kurang jika hendak dibandingkan dengan hari-hari sebelum itu, mungkin kerana mereka sudah mula pulang ke kampung atau sedang sibuk menyiapkan segala persiapan untuk berhari raya. Pada pemerhatian saya, sewaktu bertakbir dengan mereka yang lebih tua daripada saya (saya yang paling muda semasa malam raya), ada di antara pak cik ini yang masih melakukan kesilapan sewaktu bertakbir. Ada yang baca terbalik dan ada yang tidak hafal pada bahagian tengah takbir. Ada juga yang membaca "La ilaha illallahu wahdah,sadaqa wa'dah,wanasara abdah, wa-a-azza jundah, wa hazamal ahzaba wahdah", dahulu dan baru diikuti oleh "La ilaha illallahu wala na' budu illa iyyahu, mukhlisina lahuddina walau karihal kafirun". Ini adalah salah kerana terbalik. Saya bukan mahu menunjuk pandai, tetapi setiap kesalahan itu harus diperbaiki. Tidak salah untuk sama bertakbir, tetapi lebih elok jika kita membuat persiapan dan berlatih terlebih dahulu dirumah. Saya juga melakukan persiapan, agar tidak melakukan kesalahan. Walau takbir itu kita sudah pun hafal, tetapi buatlah pemeriksaan terhadap diri, agar setiap kesalahan dapat diperbetulkan lebih awal. 

Sesudah selesai bertakbir dan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumah ibadat Allah, saya telah berkunjung ke pusara nenek, pakcik dan rakan baik saya Fauzan bin Mohamed yang telah pergi meninggalkan saya. Dalam gembira di hari mulia, saya tidak pernah lupa kepada mereka yang telah pergi buat selama-lamanya, kerana saya yakin suatu hari nanti saya juga akan meninggalkan dunia ini dan semua isinya. Kiriman bekalan DOA adalah amalan yang mampu kita lakukan untuk roh-roh yang sedang bersemadi. 

Alhamdulillah rezeki pada tahun ini sangat luas dan berlipat ganda. Syukur. Selain dapat berpuasa penuh tanpa mengalami sebarang masalah, sama seperti tahun-tahun sebelum ini, duit poket raya juga kembung dan sentiasa penuh tidak kira ke mana kami sekeluarga berkunjung. Walaupun rasa malu untuk menerima pemberian duit raya, tetapi mereka mendesak agar menerima kerana saya masih belum bekerja dan masih bujang. Yahoo!! Sudah tentu pemberian duit raya yang paling banyak adalah daripada Kak Long saya. Dari dahulu dia sentiasa akan beri banyak duit raya kepada saya sehinggalah ke tahun ini, harap pada tahun hadapan perkara serupa akan berlaku :) . Tahun ini jumlah pemberian Kak Long melebihi RM300. Mungkin rezeki dia lebih tahun ini jadi kami semua dapat merasa, maklumlah baru tukar kereta baru. Tetapi Kak Long panggil saya Noh Hujan, kerana rambut saya. Dia beritahu jangan nak perasan stylo, dan dia beri duit suruh potong rambut tapi saya simpan sahaja duit itu. Habis seluruh keluarga dan sepupu panggil saya Noh Hujan. Tapi ayah saya panggil saya Tomok. Tidak kena langsung. Tidak mengapa, itulah gurauan dan usik-usik namanya. Itu baru daripada kakak yang sulung, belum dihitung daripada abang-abang dan kakak yang lain. Untung menjadi anak bongsu :) . Tetapi untuk pengetahuan anda semua, abang saya yang ke-5 telah menuntut baju ZARA daripada saya, sebab saya pernah berjanji dengan dia masa bulan 7 yang lalu. Tapi saya tidak beli pun, sebab dia tidak belikan saya apa-apa pun sewaktu berkunjung ke Vietnam. Kalau dicampur semua daripada keluarga termasuk pemberian daripada mak dan ayah, saya sudah boleh  bayar duit deposit motor baru. Syukur Alhamdulillah. Duit boleh dicari, apa yang lebih penting adalah mengeratkan hubungan sillaturahim yang sedia terjalin sesama insan dan mengelakkan sebarang permusuhan. 

Genap seminggu berhari raya, pada hari sabtu kami menganjurkan rumah terbuka dan menjemput saudara mara serta sahabat handai untuk memeriahkan majlis itu. Sebelum itu selepas Isyak kami membuat tahlil dan doa selamat, kemudian setelah selesai barulah disambung dengan acara 'Open House". Cuaca pada malam itu juga sangat nyaman ditambah pula dengan keriuhan anak-anak kecil bermain bunga api dan mercun roket yang saya beli daripada kawan. Thunderclap pun ada sebab itu kecoh. Pelbagai jenis juadah yang disediakan untuk dijamu kepada mereka yang hadir, Satay ada, Barbecue ada, Mee Rebus ada, Soto menu wajib yang sentiasa dituntut oleh adik beradik kami pun ada. Kami tidak menganjurkan jamuan yang besar tetapi secara sederhana sahaja dengan kehadiran orang terdekat. Selepas ini InsyaAllah rumah kami akan menyertai marhaban pula tetapi tarikhnya masih belum ditentukan lagi, kerana pihak surau belum beritahu. 

Walaupun tidak pulang berhari raya di kampung Negeri Sembilan atau Selangor kerana semua berkumpul di rumah kami, namun kemeriahan itu tetap dirasa bersama keluarga tercinta. Rumah pun hampir setiap malam ada sahaja yang datang berkunjung untuk beraya, keseronokan itu memang tidak dapat dipadam. Lupa nak beritahu, atuk saya beri duit raya banyak juga tahun ini. :). Saya yakin kamu di luar sana juga meraikan hari lebaran ini dengan penuh makna dan kegembiraan bersama keluarga tersayang. Sebelum mengundurkan diri, saya Phared Shakur ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN. Segala salah silap di dalam setiap post saya, mohon diampunkan.  Terima Kasih di atas masa yang anda luangkan untuk membaca coretan raya saya. Assalamualaikum :)

~phared shakur~

0 comments: