BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, August 12, 2012

AkTiViTi

Awan terus menangis pada hari ini, melimpahkan segala rahmat dari Ilahi di lembah konkrit yang susut kemanisan. Kurang daripada seminggu umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kedatangan Syawal. Bagai ada yang tidak kena aku rasakan berlaku pada diri aku. Susah untuk digambarkan perasaan ini, kerana tekanan yang hadir menjadi satu tanda tanya, di mana tiada sebarang masalah yang aku alami. Tekanan itu wujud tanpa sebarang sebab dan punca yang jelas. Tidak faham dan tidak mengerti. Aku rasakan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini akan aku sambut dengan rasa yang tidak gembira. Itu apa yang hati kecil ini kerap berkata, kerana kegembiraan dalam hidup aku seakan hilang dibawa angin. Aku hanya mampu mengurung diri di dalam kamar gelapku dan terus buntu mencari keghairahan yang mampu membawa kepada senyuman. Kepalaku makin kerap sakit, mungkin kerana masalah insomnia yang aku alami dari sebulan yang lalu. Aku hanya memenuhkan aktiviti harian aku dengan membaca buku pada sebelah petang selepas solat Zohor. Benar cerita ini telah pun aku tuliskan pada lampiran yang terdahulu dan ini sekadar ulangan dalam bercerita. Buku-buku yang aku baca adalah berkaitan Zionis dan hal ehwal keagamaan Islam, di mana usia yang masih muda inilah perlu dimanfaatkan untuk menimba sebanyak ilmu pengetahuan sebelum bergelar sebagai ketua keluarga dan memulakan alam pekerjaan. Mungkin, hobi ini juga didorong oleh minat aku untuk mengetahui tentang sesuatu perkara dan isu yang mungkin orang lain tidak berminat untuk mendalami. Pelbagai koleksi dan jilid buku telah aku kumpul dan fahami, terasa banyak sungguh perkara yang umat manusia tidak ketahui termasuk diri ini, dan pengisian masa senggang itu terasa amat berbaloi apabila dipenuhkan dengan aktiviti berilmiah. Ilmu itu perlu dikongsikan dan diamalkan untuk menghindarkan hati kita daripada menjadi gelap dan berdaki. MasyaAllah.
Seperti semua yang pernah tahu dan diberitahu lagi, pada sebelah petang saya akan melakukan senaman dan berjogging sejauh 5-6 kilometer. Sekejap guna bahasa aku, sekejap guna bahasa saya, maafkan saya kerana kadang-kala 'mood' ini berubah-ubah seperti iguana. Tidak kira pada bulan puasa atau pun hari biasa, saya akan pastikan pada setiap hari saya akan mengeluarkan peluh dengan berlari. Jogging itu juga saya jadikan sebagai salah satu cara untuk melupakan seketika segala masalah yang ada selain daripada bersolat. Selain menambahkan kekuatan diri kita juga boleh mengamalkan gaya hidup sihat. Tetapi kalau Allah sudah kata sakit, maka sakitlah yang akan kita terima, tidak kiralah dalam apa jua bentuk dan keadaan sekalipun. Ada juga yang memandang serong dan mengatakan saya tidak berpuasa apabila berjogging di bulan Ramadhan, ada juga segelintir yang menyuruh saya perlu berhenti berjogging dalam bulan puasa kerana bimbang ia akan jadi makruh. Tetapi sebenarnya itu semua tidak salah jika kita benar-benar faham akan pengertian sebenar berpuasa. Saya hanya berlari dan tidak melakukan sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa. Berlari ini sangat seronok dan boleh menambahkan kecergasan pada badan serta lelah yang saya alami juga sudah makin kurang. Alhamdulillah Syukur. 
Pada waktu malam seperti biasa bersolat fardhu secara berjemaah dan melakukan solat sunat Tarawikh. Hanya setahun sekali sahaja kita dapat bertemu dengan solat sunat ini. Apabila di masjid atau pun surau, ramai orang yang saya lihat tidak berminat untuk memenuhkan saf yang paling hadapan. Saya apabila bilal melaungkan Iqamah, saya akan terus meluru ke saf hadapan dan memasang niat untuk bersolat. Cara saya itu saya perhatikan seolah-olah mendatangkan rasa benci pada orang lain, terutama orang yang lebih tua dari saya. Mungkin mereka tidak faham, di dalam Islam kita memang dituntut untuk merebut Saf paling hadapan sesama sendiri. Ganjarannya juga lebih besar. Bukan soal siapa lebih muda atau lebih tua tetapi ini soal untuk berhadapan dengan Allah dan berdialog dengan-Nya. Ada juga terjadi apabila saf hadapan kosong, tetapi apabila jemput jemaah di saf kedua untuk tampil kehadapan, beliau sekadar buat tidak tahu walaupun sudah beberapa kali dipanggil. Sayang sungguh beliau menolak rezeki yang diberikan kepadanya. Terdapat juga jemaah yang sudah lanjut usia dan memenuhi saf hadapan tetapi tidak mahu untuk beralih ke bahagian tengah walaupun terdapat kekosongan dan jurang yang besar dengan bilal yang berada di belakang Imam. Beliau terus berdiri di tepi tingkap untuk mengangkat takbir. Tuan-tuan dan Puan-puan apabila kita membuat saf, kita perlu mulakan di bahagian tengah. Begitu juga jika kita memulakan saf yang baru di bahagian belakang, kita perlu memulakannya dibahagian tengah. Itu adalah cara dan adab dalam bersolat, bukan sewenang-wenang kita boleh buat saf di mana-mana bahagian. Saya juga banyak membuat silap, tetapi saya bersyukur kerana ramai yang sudi untuk menegur dan berkongsikan ilmu yang ada dengan saya. Jadi tidak kira muda atau tua usia kita, ilmu itu harus dituntut dan ia tidak akan habis ditelan zaman. 
Hadirin sekalian, diskusi malam kita hanya sampai di sini sahaja kerana dapur sudah berbunyi untuk mengisi perut di waktu sahur yang dingin ini. Mata juga semakin layu dibuai desiran air mata langit. Ilmu dan Amal itu perlu selari tuan-tuan. Assalamualaikum :)

~phared shakur~

0 comments: