BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, February 9, 2012

Yusry KRU & Lisa Surihani


Topik kita pada kali ini adalah berkenaan kisah cinta dan perkahwinan Yusry Abdul Halim (37) atau lebih dikenali sebagai Yusry KRU dan pelakon popular tanah air iaitu Lisa Surihani (25). Saya memang peminat tegar kumpulan KRU sejak dari kecil lagi. Minat dan kesetiaan saya terhadap kumpulan adik beradik ini tidak pernah luntur hingga ke hari ini. Rasa ini tidak akan pudar dan akan kekal sehingga ke akhir nafas saya.InsyaAllah. Jurnal percintaan aktres terbaik Festival Filem Malaysia ke-23, Lisa Surihani bersama penyanyi, komposer, pelakon dan pengarah popular, Yusry KRU bukan kisah dongeng dan bukan rekaan untuk meraih publisiti murahan, tetapi ini adalah benar dan telus. Jauh berbeza usia dan pengalaman hidup yang dilalui, Lisa masih DARA manakala Yusry pula adalah DUDA hangat. Kelebihan dan kekurangan itu menjadi pelengkap untuk mereka menyulam kasih dan membawa hubungan mereka ke tali pengikatan perkahwinan untuk bergelar sebagai suami dan isteri pada tanggal 23 Februari 2012. Tarikh 23 Februari dipilih sebagai detik ijab dan kabul bersempena hari ulang tahun kelahiran Lisa sendiri. Majlis resepsi dan persandingan pula akan berlangsung pada 26 Februari 2012 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Majlis pernikahan dua selebriti ini berlangsung setelah kedua-duanya selesai menamatkan pengambaran filem terbaru mereka yang berjudul Ular, yang dilakukan di Pulau Pangkor, Perak sepanjang bulan Januari lalu. Filem tersebut juga adalah sebuah filem terbitan KRU Studios.

Untuk pengetahuan semua pasangan selebriti ini telah mengubah lokasi majlis pernikahan mereka pada 23 Februari 2012 ini daripada cadangan awal di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya ke Hotel Marriot Putrajaya. Lisa menjelaskan perubahan lokasi tersebut, dibuat setelah berbincang bersama keluarga Yusry. Ini bagi mengelakkan majlis tersebut mengganggu jemaah di masjid berkenaan yang datang untuk menunaikan solat Asar. Majlis pernikahan yang berlangsung juga berkemungkinan akan berlanjutan hingga ke waktu Maghrib. Pasangan dua sejoli ini juga memikirkan untuk kebaikan semua pihak termasuk keluarga pihak lelaki dan keluarga pihak perempuan. Selain itu mungkin ada di kalangan teman artis wanita ataupun sahabat handai perempuan yang tidak dapat memasuki ruang masjid atas faktor uzur. Walau bagaimanapun majlis resepsi persandingan mereka akan tetap diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) seperti mana yang telah dijadualkan pada 26 Februari 2012 ini.

Tanda kasih yang ingin dibuktikan kepada sang puteri yang rupawan, Yusry sanggup menghadiri kursus perkahwinan sekali lagi untuk menemankan Lisa yang baru kali pertama melaluinya sebelum bergelar suri kepada sang putera, selain menjalankan ujian HIV.

Menyingkap di awal bunga cinta antara mereka berdua, Yusry mengakui setelah lebih setahun berhubungan menerusi BlackBerry Messenger (BBM), mereka akhirnya memutuskan untuk serius menjalin perasaan cinta. Saat angin cinta mereka mula sampai ke pengetahuan media, pasangan ini lebih selesa memilih ungkapan 'perhubungan matang' dan lari dari kebiasaan golongan artis yan kebanyakkan menggunakan 'kawan' atau 'teman tapi mesra'. Kita semua harus sedar sebagai manusia yang sentiasa diburu kesilapan, siapa yang mahu hidup bersendirian dan menghadapi dunia secara berseorangan tanpa bantuan insan yang paling rapat? Jika dikurniakan wanita yang secantik bidadari sekalipun di dunia ini, seandainya tidak ada keserasian, mustahil untuk kita membina kepercayaan dan kebahagiaan bersama. Kecantikan luaran akan pudar tapi kecantikan dalaman mampu dibawa hingga ke akhir hayat.

Apa yang penting, Lisa dan Yusry mempunyai tujuan yang sama dan jelas iaitu serius dalam hubungan serta bersedia untuk bersatu. Ketentuan yang lain diserahkan saja kepada Allah S.W.T. Semua pihak sudah pun menerima kad jemputan daripada bakal raja sehari ini dan Yusry dan Lisa tidak mahu majlis mereka diperbesar-besarkan sebagai Wedding of The Year sebagai mana yang pernah berlaku kepada Yusry pada pernikahan pertama beliau bersama aktres Erra Fazira pada 2003 dan berakhir pada tahun 2006. Oleh itu marilah kita bersama memanjatkan doa agar perkahwinan Yusry dan Lisa berjalan dengan sempurna serta berkekalan hingga ke akhir waktu. InsyaAllah jika ada kelapangan saya akan hadir ke majlis 'abang' saya ini. assalamualaikum ;)

0 comments: