BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, February 28, 2012

DelEgAsi sisWa

Asslamualaikum dan salam sejahtera kepada seluruh umat alam maya yang sudi meluangkan masa meneliti aturan kata di ruang lingkup sisi kehidupan siber saya. Hari ini kita beralih ke topik yang baru dalam konteks ilmu dan mahasiswa. Hari ini jika dilihat pergerakan mahasiswa, seakan-akan seimbang dan teratur. Ada yang memilih jalan untuk menjadi pemerhati, ada yang menjadi aktivis memilih jalan selamat. Bagaimanapun, akar umbi dalam setiap perjuangan tetap sama iaitu memartabatkan hak dan peranan mahasiswa itu sendiri. Perkara yang membezakan ialah kaedah pelaksanaan dan 'Point of View' setiap mahasiswa. Ketidaksamaan pendapat adalah perkara normal bagi sesuatu perkara, namun ketidaksamaan itu perlu ada perasaan saling menghormati pandangan orang lain agar nilai murni yang dibanggakan atas dasar orang Timur terus terpelihara. Mahasiswa kini 'dihentam' dengan pelbagai soalan dan pendapat dari segenap segi dan juga daripada pemimpin luar sama ada pihak yang menyokong kerajaan mahupun pembangkang. Bagi mereka yang tidak mengetahui sesuatu dasar atau tidak punya pegangan tetap, mereka sering terikut-ikut dengan pergerakan yang ekstremis oleh mahasiswa yang agak keterlaluan.

Media elektronik seperti Facebook, Twitter dan juga Youtube menyumbang kepada maklumat yang pantas kepada setiap individu yang yang memegang gelaran mahasiswa. Untuk mengetahui sesuatu perkara yang sedang berlaku di dalam negara mahupun di luar negara bukanlah suatu perkara yang mustahil apabila teknologi tanpa mengira sempadan digunakan untuk memenuhi ilmu keinginan kehidupan. Apa yang menjadi perbezaan setiap individu ialah jati diri dan pegangan hidup mereka. Tidak dinafikan peranan mahasiswa sememangnya penting dalam mencorak masa depan negara kerana mahasiswa ialah benih muda dengan idea baru yang dibentangkan mampu untuk mengubah pentadbiran negara ke arah lebih matang dan mapan. Begitupun, sebelum perkara seperti ini dicapai, mahasiswa perlu membuktikan bahawa peluang yang diberikan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading tidak disia-siakan sebegitu sahaja. Mahasiswa sering menjulang hak kemahasiswaan, namun dalam masa yang sama, hak ibu bapa untuk melihat kejayaan anak mereka dan juga hak pemberi pinjaman pelajaran perlulah ditunaikan. Hal ini tidak bermaksud untuk menyempitkan pemikiran mahasiswa hanya ke arah akademik, namun perkembangan akademik akademik dan nilai tambah lain seperti aktif dalam kepimpinan, sukan dan seni budaya itu perlulah selari. Untuk mencapai sesuatu perkara yang diinginkan tidak semestinya dengan cara yang ekstrem atau melampau norma kesusilaan seorang pelajar. Meja rundingan sentiasa terbuka untuk sebarang masalah, gunakan peluang itu dengan sebaiknya demi manfaat bersama. Mahasiswa sedar bahawa birokrasi sering menghalang mereka daripada bersuara. Ada banyak cara dan jalan lain yang mampu mereka ikut untuk melontarkan suara dan buah fikiran mereka. Apa yang menjadi kebimbangan kini adalah hilangnya rasa hormat dalam kalangan mahasiswa disebabkan perbezaan pandangan dan ideologi. Dapat juga dilihat, sesetengah mahasiswa hanya mampu untuk bersuara di laman sesawang, tetapi hakikatnya menjadi seorang yang pengecut apabila berada di depan ramai. Malaysia sudah pasti tidak mahu melahirkan mahasiswa seperti ini yang ternyata bakal merugikan negara kelak. Secara intihanya mahasiswa perlu sedar, setiap sesuatu perkara yang dilakukan akan mencerminkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Jangan terlalu mengikut perasaan dan berfikirlah secara rasional sebelum melakukan sesuatu perkara. Bagi mahasiswa yang baru berjinak-jinak ingin menceburkan diri dalam sesuatu perkara baru, fahami dan telusuri dahulu sesuatu dasar yang ingin mereka ikuti.

Tidak salah untuk berjuang dengan ilmu, tetapi jangan berjuang hanya dengan mengikut telunjuk orang lain. Sesungguhnya mahasiswa adalah penggerak masa depan negara kita Malaysia. Oleh itu, mahasiswa hari ini perlu sedar dengan perkara yang berlaku di sekeliling kita agar kita tidak menjadi seperti lalang, ditiup angin ke kanan, ke kananlah kita. Ditiup angin ke kiri, ke kirilah kita. Mahasiswa hari ini perlu pandai dan bijak dalam menilai sesuatu perkara agar lebih dihormati dan berguna kepada masyarakat setempat. Jangan kita menjadi mahasiswa yang hilang wawasan ilmunya. ;)

0 comments: