BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, February 23, 2012

AutOnomI

Permulaan malam ini diserikan dengan ungkapan Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum membuka bicara dan salam kemaafan dihulur bersama. Dalam separa sedar kita telah melangkah ke tahun 2012 dan kini telah pun berada di garisan Februari. Masa pantas meninggalkan kita dikala kita masih enak dibuai leka dan mimpi yang tiada kesudahannya. 2012 telah membawa kita ke satu tahap di mana pelbagai perubahan dan transformasi akan kita lihat berlaku di dalam negara atau pun di dalam diri kita sendiri. Hanya waktu yang akan menentukan dan menjadi sempadan pemisah antara realiti dan fantasi. Realiti yang ingin saya kongsikan diruangan blog saya ini adalah kuasa autonomi yang akan diberikan kepada 5 buah universiti awam tempatan. Ini merupakan suatu perkembangan positif yang akan mewarnai lapangan akademik negara. Kuasa autonomi ini diberikan kepada 5 buah universiti awam tersebut adalah bertujuan untuk mewujudkan universiti yang berinovasi dan lebih berdaya saing. Universiti yang dimaksudkan adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Kesemua IPTA ini diberi kuasa dalam empat bidang yang merangkumi urus tadbir, kewangan, sumber manusia dan pengurusan akademik serta pengambilan pelajar mulai bulan September ini.

Sistem yang berteraskan autonomi ini perlu dipatuhu oleh universiti-universiti tersebut kerana ia melibatkan integriti dan akauntabiliti yang menjadi panduan dalam segala tindakan pengurusan universiti. Universiti selalu berkata mereka tidak mencapai kecemerlangan kerana terdapat halangan dan kekangan, disebabkan itu kuasa autonomi ini diberikan kepada mereka untuk meningkatkan pencapaian mereka. Kelima-lima universiti berkenaan juga akan menpunyai kuasa untuk membuat keputusan sendiri bersandarkan kepakaran dan konsep kebebasan akademik serta tidak terikat dengan peraturan kerajaan. Lembaga pengarah di semua universiti berkenaan diminta memanfaatkan tanggungjawab dan peluang yang diberikan itu sebaik mungkin dalam menjana kecemerlangan universiti masing-masing. Autonomi universiti ini merupakan penurunan kuasa membuat keputusan daripada agensi pusat dan kementerian kepada pihak universiti. Ini merupakan prasyarat penting untuk mewujudkan pesekitaran kampus yang dinamik melalui pengurusan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lebih berdaya saing. Keputusan kemasukan pelajar juga akan diurus oleh universiti berkenaan dan tidak lagi menerusi Unit Pengambilan Universiti. Ini merupakan satu peralihan positif dalam merencana arus pemodenan pengurusan universiti tempatan secara amnya. Marilah kita memupuk rasa bangga dalam diri dengan perkembangan terbaru ini. Syukur Alhamdulillah. Sekian sahabat maya sekalian ;)

0 comments: