BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, August 14, 2011

seNjaTa aMpuH MukmIn

Assalamualaikum kepada semua sahabat maya sekalian. Semoga berada dalam keadaan iman yang sihat sejahtera bersama pemikiran kritis yang positif. Alhamdulillah kita semua telah berada pada Ramadhan ke 14 iaitu di pertengahan bulan mulia ini dan pada malam ini juga kita telah selamat menyempurnakan solat Terawikh yang ke 15. Syukur. Dalam setiap detik kehidupan ini kita sebagai khalifah di bumi ini haruslah memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada ALLAH s.w.t di atas segala kemudahan dan rahmat yang telah Dia berikan kepada kita semua. Sesungguhnya dalam kehidupan seharian setiap umat Islam pasti mengharapkan rahmat dan keredhaan daripada ALLAH s.w.t. Malah harus kita fahami bahawa pelbagai cara boleh dilakukan untuk mendapatkan rahmat dan keredhaan ALLAH iaitu dengan melaksanakan kewajipan dalam Islam seperti bersolat, bersedekah, memberi pertolongan secara ikhlas dan paling mudah ialah dengan berdoa. Sahabat sekalian, doa bukan sahaja dikategorikan sebagai satu ibadat di mana kita dituntut melakukannya, sebaliknya sebagai senjata kepada orang mukmin, terutama ketika manghadapi musibah dan kesusahan. Tetapi janganlah hanya menghadapi kesusahan sahaja baru kita hendak berdoa sebaliknya dalam setiap tugasan 5 itu perlulah kita berdoa. Janganlah kita menjadi hamba yang sombong dengan tidak berdoa. ALLAH dan Nabi sendiri menuntut kita supaya berdoa dan hanya memohon pertolongan kepada-Nya. ALLAH s.w.t memerintahkan hamba-Nya supaya berdoa kepada-Nya kerana tiada tempat lain untuk kita memohon pertolongan melainkan kepada ALLAH semata-mata. Sebagaimana diketahui, setiap doa yang ikhlas kepada ALLAH akan dimakbulkan oleh-Nya, namun sebagai hamba, kita dituntut untuk bersabar kerana tidak semua doa itu diperkenankan serta-merta. Jangan sesekali kita berputus asa kerana ada hikmah dan rahsia yang terkandung di dalamnya. Sebaliknya hendaklah terus kita berdoa kepada ALLAH dengan perasaan yakin dan rendah diri kepada-Nya. Sabar itu adalah kunci kepada keimanan mukmin sejati.

Dalam usaha untuk memastikan doa kita diterima dan dimakbulkan oleh ALLAH, kita hendaklah menjaga adab dan tata tertib ketika berdoa, seperti kita hendaklah berada dalam keadaan berwuduk, memulakan serta mengakhiri doa dengan memuji nama ALLAH dan kebesaran-Nya serta memberi salam dan selawat kepada junjungan kita Rasulullah s.a.w. Semasa berdoa, kita disunatkan untuk menghadap kiblat dan memohon dengan suara yang rendah sambil menadah kedua belah tangan serta berdoa dengan bersungguh-sungguh, khusyuk serta yakin doa akan diperkenankan oleh yang Esa.
Selain itu kita perlulah memastikan bahawa makanan, minuman dan pakaian kita adalah daripada sumber yang halal. Ini bertujuan untuk memastikan doa kita tidak ditolak dan diterima oleh ALLAH. Harus diingat bahawa kita tidak boleh berdoa dengan sesuatu yang tidak munasabah dan mustahil atau mendoakan keburukan serta kecelakaan kepada saudara yang lain. Doa mempunyai banyak kelebihan dan fadilat yang sangat besar. Melalui doa, keampunan dan rahmat ALLAH akan diperoleh, manakala musibah dan kesusahan boleh terhindar. Kita perlu yakin kerana ini adalah bidang kekuasaan ALLAH dan tiada satu pun yang mampu untuk mempertikaikannya. Selain itu doa boleh menghindarkan daripada bala, walaupun bala itu adalah qada, iaitu ketentuan ALLAH s.w.t. Oleh itu, walau dalam keadaan senang atau susah kita perlulah sentiasa berdoa kepada-Nya. Perlu kita semua ketahui bahawa orang yang memperbanyakkan doa kerika dia dalam keadaan senang maka ALLAH akan memakbulkan doanya ketika dia dalam keadaan susah. Di sini dapatlah kita fahami bahawa sangat rugi bagi orang yang tidak berdoa kerana menutup bagi dirinya pelbagai kebaikan dan secara tidak langsung mendedahkan dirinya kepada kemurkaan ALLAH s.w.t. Untuk pengetahuan bersama, ada pelbagai keadaan jika seseorang itu berdoa , doanya akan mudah dan cepat dimakbulkan. Antara keadaan itu adalah, dia berdoa pada malam Jumaat dan pada hati Jumaat, waktu di antara azan dan iqamah, ketika sujud dalam sembahyang, ketika doa di antara dua khutbah, pada bulan Ramadhan, pada malam Lailatul Qadar, hati Arafah, pada waktu turunnya hujan, pada 1/3 malam dan selepas menunaikan sembahyang fardhu. Namun yang mendukacitakan, terdapat segelintir orang yang tidak mengambil berat amalan berdoa, di mana setelah selesai mengerjakan solat mereka akan terus bangun dan tidak berdoa terlebih dahulu walau untuk satu minit. Ingatlah wahai sahabat sekalian, orang yang tidak mahu berdoa dianggap sebagai orang yang sombong kepada ALLAH. Oleh itu perbanyakkanlah berdoa, mudah-mudahan kita semua memperoleh rahmat dan keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat kelak. InsyaAllah..amin..

Sampai di sini dahulu coretan saya. Segala apa yang saya kongsikan di sini adalah ilmu daripada ALLAH, dan saya cuma menyampaikannya mengikut cara saya, kerana saya sedar saya tidak selamanya akan hidup di dunia ini. Ini hanyalah sebagai salah satu tanggungjawab saya sebagai mukmin dan diharap ilmu yang dikongsikan ini tidak akan dipersoalkan di sana kelak. Harap kamu semua dapat menyampaikannya kepada sahabat dan kenalan kamu pula. ;)

0 comments: