BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, August 23, 2011

DoA

salam lembaran Ramadhan, salam mencipta seribu kemaafan, dan salam indah perkenalan.

Hari ini saya dirundung perasaan sedih dan pilu dalam hati. Hari ini merupakan hari terakhir saya menoreh getah sebagai bekalan mencari pengalaman dan pemahaman hidup. Pelbagai perkara yang saya pelajari sepanjang bergelar penoreh getah. Saya yang memilih untuk mengikuti kerja kampung dan tidak ada apa yang saya perlu menyesal. Saya hanya menunaikan tanggungjawab saya dengan mengusahakan harta keluarga dan memahami perit maung mencari rezeki. Apa yang saya pelajari adalah bukan wang ringgit gaji yang tinggi direbutkan saban hari dan bulan, malah nilai hidup yang saya perolehi lebih tinggi dari nilai ringgit yang saya terima dari ayah. Saya bangga menempatkan diri di kawasan kampung dan berdikari sendiri walaupun duduk bersama keluarga atuk di kampung tetapi sekurang-kurangnya saya dapat buktikan pada adik beradik yang lain bahawa saya tidak hanya berkepit di bawah ketiak mak dan ayah sahaja. Saya mampu untuk berdiri sendiri dan mampu untuk mengorak langkah ke hadapan dengan keyakinan dan rahmat dari ALLAH. Dapat pulang semula ke Johor adalah satu perkara yang sangat gembira untuk saya kerana dapat merasa masakan mak dan berehat sebelum memulakan penggal semester yang baru.ALHAMDULILLAH.
Oleh kerana kita masih berada di dalam bulan Ramadhan, ada baiknya untuk kita bercerita dan bertukar-tukar pendapat tentang bulan rahmat ini. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kemeriahan bulan Ramadhan di negara kita dikaitkan dengan penganjuran bazar Ramadhan yang menyediakan pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Dari satu sudut, ia memberi kemudahan kepada mereka yang tidak sempat menyediakan makanan dan membuka peluang perniagaan. Namun, yang tidak sedapnya apabila bazar Ramadhan terlalu menjadi tumpuan hingga menghilangkan hikmah di sebalik perintah umat Islam berpuasa yang menuntut mereka mengawal diri daripada makan, minum, serta melakukan perkara yang membatalkan puasa. Pada masa sama, dengan adanya bazar Ramadhan yang terlalu banyak bilangannya menjurus kepada pembaziran. Maklumlah, apabila sudah rambang mata, kita lebih cenderung mengikut nafsu ketika membeli tetapi apabila tiba masa makan, hanya sedekit saja yang mampu habis di makan. Terlalu memikirkan juadah yang sudah dibeli untuk berbuka puasa juga menyebabkan kita lupa mengambil kesempatan memohon doa sebelum masuknya waktu berbuka puasa atau azan Maghrib, iaitu waktu yang mustajab untuk berdoa. Sementara menanti alunan azan berkumandang, sebaiknya waktu 5 minit direbut bagi memohon hajat kepada Yang Maha Esa. Alangkah ruginya jika waktu itu dibazirkan dengan berbual kosong atau hanya menonton televisyen. Sepanjang Ramadhan langit dibuka setiap saat, pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup rapat. Justeru mintalah apa sahaja yang kita hajatkan kerana dengan izin ALLAH, permintaan itu akan dimakbulkan. InsyaALLAH.
Jika kita belum pernah berdoa sementara menanti waktu berbuka, dalam minggu akhir Ramadhan ini marilah kita jadikan ia amalan wajib. Luahkan segala apa yang terbuku dalam hati, mudah-mudahan ALLAH memakbulkan permintaan kita. Begitu juga apabila menjamah juadah, hendaklah dilakukan dengan tertib dan jangan terlalu gelojoh walaupun tidak dinafikan sudah penat seharian kita menahan nafsu makan. Sebaliknya dimulakan dengan makan kurma mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Kemudian berhenti sekejap untuk menunaikan solat Maghrib sebelum menikmati juadah berat bagi menjana tenaga untuk menunaikan solat sunat Tarawikh. Bagi mereka yang menghidap penyakit, pastinya perlu berhati-hati di bulan puasa ini supaya kesihatan terpelihara. Tambahan pula bagi yang berkemampuan berpuasa, mereka pasti akan berdepan dengan cabaran yang hebat.

Saya tidaklah terlalu bagus dalam hidup ini, tetapi mana yang termampu saya tetap akan ikut dan lakukan dengan ikhlas. Kadang-kadang makan sampai kenyang baru berhenti dan solat Maghrib, tapi itu bukanlah satu contoh yang baik. Maklumlah saya juga manusia yang sentiasa dipengaruhi oleh nafsu yang datang mengudsik tanpa mengira masa dan waktu. Jadi kuatkanlah hati kita dengan iman dan zikrullah kepada Yang Esa, pemimpin sekalian alam.ALLAHU AKBAR. Mungkin ada yang beranggapan bahawa perkongsian bekalan akhirat ini adalah satu tindakan hipokrit dari saya, tetapi jangan berburuk sangka kerana saya juga adalah manusia yang sentiasa memperbaiki diri dalam mencari keredhaan daripada ALLAH s.w.t..
~assalamualaikum~

0 comments: