BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, August 6, 2011

Ramadhan aL-mubaraK

Assalamualaikum kepada seluruh isi alam yang terbentang luas di langit dan di bumi. Berpijaknya kaki manusia di bumi yang nyata, berpautnya harapan manusia dalam genggaman hati yang pasti diulit realiti duniawi. Seperti yang telah diuar-uarkan dalam bingkisan sebelum ini, janji yang dicanang akan pasti saya lunaskan dengan sebaik mungkin walaupun akan terwujud kesalahan atau pun kekeliruan fakta dalam rencana saya pada kali ini. Telapak dicantum memanjat setinggi kesyukuran, doa dibibit menghamburkan pujian, alhamdulillah ungkapan dibentangkan, dada mencipta sebak kerana diberi nafas merasa nikmat Ramadhan. Hari ini adalah hari ke-6 kita berpuasa dan malam ketujuh kita mengerjakan solat tarawikh.ALHAMDULILLAH semua kewajipan dan kenikmatan yang diberikan dapat juga ditunaikan dengan tenang. Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan kemuliaan dan barakah. Kehadiran bulan yang mulia ini menandakan bahawa bermulanya tanggungjawab setiap muslim di bumi ALLAH ini untuk menunaikan Rukun Islam yang ke-4. Dalam bulan Ramadhan yang telah difardhukan ini wajib bagi setiap insan beragama Islam untuk berpuasa selama satu bulan disepanjang-panjang bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Dalam mengerjakan ibadat ini kita perlu menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Ia dimulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertakan dengan niat. Niat untuk berpuasa adalah syarat sah yang harus disertakan dalam menjalani ibadat berpuasa. Kita perlu menahan diri dari lapar dan dahaga serta meningkatkan amal ibadat agar dapat membendung diri dari melakukan perkara yang melalaikan dan membentuk peribadi muslim yang sejati. Amal kebaikan yang kita lakukan akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat kali gandanya. ALLAHU AKBAR, besar sungguh kekuasaan ALLAH dan nikmat yang Dia berikan kepada hamba-Nya. Rukun Islam yang kita tunaikan ini amat penting dalam diri setiap muslim kerana ia dapat menjadi penghubung antara manusia dengan ALLAH dan manusia dengan manusia.

Seperti saya dan kamu telah pelajari, Rasulullah s.a.w amat mengalu-alukan ketibaan bulan Ramadhan, kerana dalam bulan ini terdapat berbagai keistimewaan yang ALLAH telah sediakan berbanding bulan-bulan yang lain. Rasulullah pernah menyatakan kepada para sahabat bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang agung lagi penuh barakah, dimana terdapatnya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar. Melalui ingatan saya tentang apa yang telah saya pelajari sewaktu menuntut di sekolah agama dahulu, Rasulullah menjelaskan kepada para sahabatnya bahawa sesiapa mendekatkan dirinya kepada ALLAH dengan amal kebajikan maka dia diberi pahala amalan fardhu pada bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu amalan fardhu padanya nescaya sama seperti melakukan tujuh puluh dalam bulan yang lain. Besar sungguh ganjaran ALLAH sediakan untuk kita semua. Dalam bulan Ramadhan ini juga ALLAH membukakan pintu-pintu rahmat dan keberkatan serta pintu-pintu keampunan untuk mereka yang menginginkannya. Setiap pintu Syurga dibuka luas dan setiap pintu NERAKA dikunci serta ditutup rapat. Kurniaan yang kita perolehi ini dilimpahkan oleh ALLAH s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya agar kita mencapai tahap dan kedudukan yang terbaik berbanding umat yang terdahulu. Ramadhan adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu balasannya adalah syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan ALLAH menambahkan rezeki bagi orang yang beriman pada bulan tersebut. Ramadhan bulan yang penuh dengan keistimewaan , kerana dalam bulan ini diturunkan padanya kitab suci Al-Quran dan umat Islam digalakkan supaya membacanya sebanyak mungkin berbanding pada bulan-bulan yang lain. Ramadhan juga bulan yang ALLAH janjikan pada sekalian hamba-Nya yang mahu berdoa kepada-Nya , maka setiap doa mereka akan dimakbulkan, istimewa bagi orang yang berdoa ketika hampir masuk waktu berbuka puasa dan pada waktu sahur. ALLAH akan mengampunkan dosa para hamba-Nya yang berpuasa dan disertai dengan keimanan dan kerana menuntut serta mengharapkan keredhaan-Nya.
Amal ibadah dan kebajikan yang dilakukan akan dilipatgandakan ganjarannya oleh ALAH s.w.t, terutamanya bagi mereka yang beribadah pada malam Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. ALLAH telah menciptakan dan menentukan dalam setahun ada 12 bulan dan Dia juga yang mencipta dan memilih serta menetukan apa yang dikehendaki bahawa Ramadhan menjadi bulan yang paling mulia dan penuh dengan keberkatan.
Panas terik adalah suatu yang maknawi atau simbolik, dengan kedatangan Ramadhan semoga akan membakar dan meleburkan segala kekotoran dosa bagi para mukmin dan mukminat yang mengerjakan ibadah siyam dan menghayati program Ramadhan yang telah disyariatkan oleh ALLAH dan Rasul-Nya.
Sebagai umat yang hidup pada akhir zaman dan dalam dunia moden yang serba maju dari segi peralatan serta pergaulannya marilah kita bersama-sama memanfaatkan ruang-ruang waktu dalam bulan Ramadhan dengan berpuasa pada waktu siangnya dan mendirikan solat Qiam iaitu solat Tarawikh, Tahajjud dan Witir pada malamnya serta amal-amal kebajikan yang lain, demi mematuhi perintah ALLAH dan menghayati sunnah Rasulullah s.a.w. Selain ia juga dapat mendidik diri kita ke arah mencapai tahap keimanan dan ketaqwaan yang tinggi. Semoga kita memperolah kemuliaan, kecemerlangan, dan keredhaan ALLAH di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

Saya hanyalah insan yang merantau di atas landasan kehidupan yang sentiasa meliar mencari ilmu pengetahuan di setiap persinggahan jalan. Perkongsian ilmiah ini bukanlah untuk mengangkat nilai hipokrit di dalam diri tetapi untuk bersama memperbaiki diri dan membendung setiap kesilapan yang pernah terjadi. Jika terdapat sebarang kesilapan pada wadah yang saya ukirkan di sini, itu datangnya dari kekhilafan diri saya sendiri kerana yang baik itu datangnya dari ALLAH s.w.t, Dia yang Maha Sempurnya dan saya hanyalah hamba-Nya yang sentiasa mencongak keburukan dan kebaikan yang tersembunyi.
sekian.. ;)

0 comments: