BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, August 21, 2011

Nur LailaTul QaDar

Assalamualaikum dan salam keampunan kepada seluruh rakan serta taulan. Syukur Alhamdulillah kerana pada malam yang penuh dengan ketenangan ini kita semua sudah pun berada di malam ke-22 Ramadhan Al-Mubarak. Ini bermaksud kita semua berada dalam lingkungan 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. Oleh yang demikian diharap seluruh mukminin dan mukminat dapat melipat gandakan amal ibadat pada 10 malam terakhir ini, semoga kita semua beroleh rahmat dan dapat menemui cahaya Lailatul Qadar yang penuh dengan rahsia keistimewaan.InsyaAllah. Sahabat maya sekalian,kita semua adalah umat Nabi Muhammad s.a.w yang hidup di akhir zaman dan seharusnya kita menerokai dan memanfaatkan segala kurniaan yang diberikan serta beribadat dengan penuh keinsafan. Janganlah kita lalai dengan permainan dunia dan terleka dengan keseronokan yang sebenarnya menghina. Saya sendiri pernah terpesong dengan godaan nafsu dunia yang tidak seindah yang disangka. Namun saya bersyukur kerana didikan agama yang diterapkan oleh keluarga saya telah membawa saya kembali ke pangkal jalan dan Allah telah menyedarkan saya dengan pelbagai petunjuk yang mampu untuk membuka mata hati dan deria keinsafan dalam diri saya. Hanya perjalanan menuju ke akhirat akan membawa kita kekal hidup selamanya dan bukan keseronokan dunia semata-mata. Walaupun iman dalam diri ini pernah goyah tetapi syukur ilmu agama itu belum pernah luntur dimamah arus pemodenan zaman. Sahabat yang dihormati, umat Nabi Muhammad s.a.w adalah umat yang terbaik berbanding umat-umat yang terdahulu dan umat akhir zaman ini juga yang bakal memasuki syurga terlebih dahulu sebelum umat-umat yang lain. Umur umat Nabi Muhammad s.a.w adalah antara 60-70 tahun dan umur umat yang terdahulu lebih panjang sehingga ada yang mencapai 500 tahun, iaitu umat Nabi Yunus a.s. Manakala umur umat Nabi Nuh pula ada yang mencecah sehingga 1000 tahun. Kita patut bersyukur kerana dihidupkan sebagai umat Rasul pilihan yang dibanjiri dengan pelbagai keistimewaan dalam ganjaran beribadat mahupun kehidupan. Malam Lailatul Qadar yang terkandung di dalam bulan Ramadhan adalah salah satu kurniaan yang telah diberikan kepada kita. Lailatul Qadar adalah malam yang penuh barakah, malam yang dipilih oleh ALLAH unuk menurunkan Al-Quran. Sekalian malaikat diketuai oleh Jibril a.s turun ke bumi, malah malam tersebut penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar. Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, beramal pada malam Al-Qadar diberi pahala lebih baik daripada beramal selama seribu bulan yang bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan. Peluang yang istimewa ini diberi khusus kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya demi meraih pahala yang tinggi untuk melayakkan diri menjadi umat terbaik. Saya ada membaca sebuah kitab bertajuk Tafsir Hanafi, dijelaskan di dalamnya bahawa Nabi Nuh a.s berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun, namun hanya segelintir yang menyahut seruan baginda, sedangkan Nabi Muhammad s.a.w berdakwah tidak lebih dari 23 tahun, namun kejayaannya sangat besar sehingga berjaya menegakkan Daulah Islamiyah di Madinah dan tersebar luas bukan sahaja di Semenanjung Tanah Arab, malah sehingga ke merata tempat di muka bumi ini. Kerana itu kita perlu bersyukur menjadi umat Nabi Muhammad kerana Baginda adalah semulia-mulia Nabi dan Rasul yang diutus untuk umat manusia seluruhnya sedangkan Rasul terdahulu hanya untuk kaumnya sahaja. Namun harus kita sedar bahawa sebagai umat Nabi Muhammad s.aw juga kita akan berhadapan dengan fitnah pada akhir zaman ini dengan sangat hebat. Pada hari ini, sesama manusia muslim sekalipun ada antara kita yang difitnah dan diburukkan dengan agenda cerita yang tidak benar demi kepentingan diri sendiri. Sahabat maya sekalian mungkin kita pernah mengetahui dan belajar semasa menuntut di sekolah dahulu bahawa jika kita solat 2 rakaat pada malam Al-Qadar seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w, maka ganjarannya adalah lebih besar pahalanya daripada perang sabil selama seribu bulan yang dilakukan oleh kaum Bani Israil. Kita sebagai umat Islam sepatutnya akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam yang penuh kemuliaan itu, iaitu dengan cara melakukan Qiamullail atau beriktikaf di masjid pada malam-malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan bermula pada malam ke-20 hingga malam ke-29 atau 30 Ramadhan. Jika dilakukan demikian, InsyaAlllah kita akan bertemu Lailatul Qadar. Al-Qadar berlaku pada sepanjang malam, bermula waktu Maghrib iaitu permulaan malam dan berakhir ketika terbit fajar, sama keadaannya seperti malam Jumaat atau malam-malam mulia yang lain. Bila berlakunya Lailatul Qadar itu dirahsiakan oleh ALLAH, sehingga Nabi Muhammad s.a.w lupa bila ia berlaku. Hanya Nabi Muhammad s.a.w kuat sangkaan bahawa dirasakan Al-Qadar itu berlaku pada salah satu malam-malam yang ganjil sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Sebab itulah Rasulullah s.a.w menyarankan agar umatnya mencari Lailatuk Qadar pada malam-malam ganjil sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan. Sesungguhnya ibadah iktikaf dan Qiamullail pada malam-malam dua puluh hingga akhir Ramadhan amat penting untuk dihayati dengan sebaik mungkin dengan tujuan untuk mengikut sunnah atau amalan Rasulullah s.a.w sambil berharap agar bertemu dengan Lailatul Qadar. Menerusi aktiviti seperti itu diharap kita dapat mencapai matlamat ibadah puasa Ramadhan yang unggul, iaitu tahap ketaqwaan dan keimanan yang tinggi. Di samping itu, demi meningkatkan kualiti diri dan keluarga demi mengangkat martabat ummah ke mercu keunggulan dan kemuliaan di dunia dan di akhirat. Tetapi malangnya, ramai antara umat Islam pada hari ini tidak lagi mengendahkan akan 'Program Madrasah Ramadhan' yang bertujuan meningkatkan kerohanian dan mengangkat martabat ummah persada dunia sejagat. Sebaliknya mereka menjadikan Ramadhan sebagai 'Bulan Pesta Makan' demi memuaskan selera makan dengan aneka juadah dan makanan yang lazat-lazat, terutamanya ketika berbuka. Demikian juga ramai yang lebih tertumpu menyediakan persiapan menyambut hari raya secara berlebihan. Fenomena buruk ini telah menjadi batu penghalang daripada menyahayati program yang bermanfaat sempena Ramadhan Al-Mubarak ini. Kita perlu menyingkap kembali lembaran yang menerangkan tentang hukum-hukum Islam khususnya yang berkaitan dengan ibadah puasa dan hikmahnya, serta kita perlu menghayati erti kemunculan Ramadhan demi mencapai tahap ketaqwaan yang tinggi dan kemuliaan diri di sisi ALLAH.amin..


sampai di sini sahaja coretan berjela saya tentang Lailatul Qadar.Semoga kita beroleh rahmat dan menjadi insan terpilih menemui Al-Qadar. Beribadatlah dengan sebaik mungkin agar kita mampu untuk merasai sinar pada malam yang istimewa di bulan Ramadhan ini.
Ya ALLAH permudahkanlah perjalanan hidup kami menuju ke arah akhirat-Mu..amin..


0 comments: