BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, July 16, 2011

DetIk pAling HaMpIr kePaDa ALLAH

Hidup di dunia ini sangat indah jika kita mampu menghayatinya dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kepada yang Esa. Dia yang menciptakan sekalian manusia dan Dia juga berkuasa mematikan semua yang hidup.ALLAHU AKBAR. Baru sahaja dua hari yang lalu saya kehilangan mak ngah saya untuk selama-lamanya. Tempoh dia bersama kami telah ditamatkan dan dia pergi menyambut panggilan Ilahi dalam keadaan yang sangat tenang.Pada pagi Jumaat dia meninggal dunia di kampung ayah saya di Tanjung Karang, Selangor. Kakak kepada ayah saya itu meninggal kerana sakit tua, namun kami semua redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan kerana kami yakin pada suatu hari nanti giliran kami pula yang akan menyusul, cuma harapnya barakah Jumaat adalah hari terakhir kami dijemput. Kerana itu adalah impian setiap muslim yang beriman. InsyaAllah. Kehidupan saya di kampung bonda bersama atuk tersayang ini juga aman dan tenteram, seronok serta pelbagai aktiviti kampung dapat dilakukan bersama teman-teman kampung. Jauh daripada dunia bandar yang sentiasa dipenuhi dengan hiruk-pikuk kota yang membingit gegendang telinga. Saya benar-benar bersyukur pada hari ini kerana masih diberi ruang untuk bernafas dan melihat hari berganti hari. Kerana itu masa yang ada ini saya manfaatkan sebaik mungkin untuk bersama atuk, agar pada tiba masanya nanti saya tidak akan terlalu sedih dan menyesal dengan kehilangan nenda yang amat saya sayangi sejak dari kecil lagi. Biarlah masa itu terus berlalu dengan penuh keindahan dari kekesalan. Alhamdulillah hidup yang telah diperuntukkan kepada saya telah membawa saya untuk mengenali semua kesilapan yang telah dilakukan dan mengenali kelemahan diri agar menjadi manusia yang lebih berguna serta mampu untuk mentarbiah diri sendiri kearah yang diredhai ALLAH s.a.w. Setiap kali solat pada sujud yang terakhir saya akan memperbanyakkan doa kepada ALLAH dan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada-Nya diatas segala rahmat dan petunjuk yang telah diberikan. Seperti semua sudah sedia maklum, semasa sujud itulah saat kita paling hampir dengan ALLAH dan disarankan kepada kita agar memperbanyakkan berdoa pada ketika itu. Dan peluang itu saya gunakan dengan sebaik mungkin, bahkan membuatkan saya rasa rindu untuk solat dan tidak sabar untuk mengerjakannya terutama secara berjemaah di masjid. Berbicara tentang keistimewaan sujud ini telah mengingatkan saya pada satu kisah yang telah disampaikan seorang kenalan wanita kepada saya beberapa tahun yang lalu. Kami kerap berbincang tentang pelbagai perkara dari hal-hal dunia, akademik, Islam dan juga tentang hari kiamat. Melalui ilmu yang dikongsikan, terdapat seorang profesor berbangsa Cina di negara ini telah membuat satu kajian tentang sujud yang dilakukan oleh umat Islam semasa mengerjakan sembahyang fardhu mahupun sunat. Dia telah mencipta satu alat dan disangkutkan pada seorang jemaah semasa dia hendak bersolat(tidak dapat saya bayangkan di sini bagaimana caranya dan bentuk alat itu). Menurut profesor itu semasa kita bersujud bacaan pada alat itu menunjukkan seseorang manusia itu mencapai darjah ketenangan yang amat tinggi semasa sedang bersujud. Ini menunjukkan dalam solat banyak kelebihan yang mampu kita perolehi, dan itu adalah salah satu keistimewaan yang mampu kita nikmati semasa bersujud.

Ini adalah suatu bentuk ilmu yang datang menerjah benak saya secara tiba-tiba dan menguji daya kritis manusia untuk menginterpretasikannya ke dalam bentuk ayat. Seharusnya kita memperbanyakkan sujud kepada ALLAH pada setiap malam bulan Ramadhan. Selain solat fardhu, terdapat beberapa solat sunat yang elok kita lakukan, seperti solat Tarawikh, Tahajjud, dan Witir. Pada tahun 1995 (ketika itu saya masih belum bersekolah lagi) terdapat seorang insan yang mengerjakan fardhu Haji, sewaktu mahu mengerjakan solat Maghrib secara berjemaah, ruang solat di Baitullah itu sudah penuh dan kedudukan semua sangat rapat. Dan beliau mengambil inisiatif dengan menaiki anak tangga dan bersolat di situ bersama beberapa jemaah lain. Air matanya menitis kerana tidak dapat sujud dengan sempurna dan sekadar membongkok dengan berhati-hati agar tidak jatuh ke bawah. Beliau sedar bahawa sujud adalah suatu nikmat yang besar kurniaan ALLAH dan bukan semua orang dapt bersujud jika tidak diizinkan oleh ALLAH. Begitu nikmatnya jemaah lain di Masjidil Haram pada ketika itu kerana dapat sujud dengan sempurna dan dapat mencecahkan dahi ke bumi.
Berbalik kepada topik sujud yang asal tadi, sujud kepada ALLAH terutamanya yang dilakukan pada malam hari dengan Tahajjud dan sebagainya, akan menjadikan wajah dalam keadaan ceria dan berseri-seri. Itulah pancaran dari hati nurani yang suci bersih dan sentiasa mendapat sinaran cahaya ilahi. Demikian juga seterusnya akan terpancar pada tutur kata, gerak-geri dan perbuatan, yang kesemuanya dalam bentuk yang indah dan baik-baik belaka. Kesan sujud dan ibadah yang ikhlas tidak dapat disembunyikan oleh seseorang, melainkan ALLAH Taala memperlihatkannya pada wajah,gerakan pelakunya dan tutur katanya.
Berdoalah semoga ALLAH memberi kekuatan kepada kita sehingga kita dapat memperbanyakkan sujud dengan sempurna sepanjang hayat ini. AMIN. Dan janganlah nikmat sujud itu ditarik sehingga memaksa kita untuk bersujud dengan isyarat atau sekadar membongkok. Ini hanyalah bingkisan ilmu yang pernah saya pelajari sewaktu awal remaja dahulu sewaktu di sekolah agama dan Alhamdulillah ALLAH tidak membuatkan saya lupa pada ilmu-Nya itu. Saya sekadar berkongsi untuk tatapan pengguna maya sekalian. Ya ALLAH permudahkanlah setiap pekerjaan ku dan rahmatilah setiap langkah perjalanan hidupku.AMIN


~AL-FATIHAH~
untuk Mak Ngah Zainon yang telah kembali ke rahmatullah

0 comments: