BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, June 29, 2011

Israk Mikraj: 27 Rejab, Agungnya Kebesaran ALLAH

Pada malam 27 Rejab tahun 621 Masihi, setahun sebelum Hijrah, Rasulullah telah melalui peristiwa Israk dan Mikraj yang merupakan suatu peristiwa yang menakjubkan dan luar biasa. Peristiwa tersebut telah menunjukkan tentang keagungan dan kebesaran kekuasaan ALLAH s.w.t yang hebat dan tiada tanding taranya.
ALLAHUAKBAR!! ALLAH Maha Besar, Dia telah membawa Nabi Muhammad s.a.w pada waktu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil AQsa di Baitulmaqdis. Dari sana Baginda diangkat ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha dan Mustawa, iaitu suatu tempat yang paling tinggi dan tidak pernah didatangi oleh sesiapa pun kecuali Nabi Muhammad s.a.w.
Menurut para ulama', sebelum berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj tersebut, Nabi Muhammad terlebih dahulu menjalani pembedahan dada dan perut yang telah dilakukan oelh Malaikat Jibril dan Malaikat Mikhail a.s. Hati Baginda s.a.w dicuci bersih dengan air zam-zam, dibuang alaqah (ketul hitam), iaitu tempat syaitan yang direjam membisikkan was-was. Kemudian dada Baginda s.a.w telah dituang dengan hikmah, ilmu, dan iman serta akhirnya dijahit dan dimeterikan dengan 'khatimin nubuwwah'. Setelah selesai menjalani pembedahan Nabi Muhammad s.a.w telah menunggang Bura' iaitu haiwan dari syurga untuk memulakan perjalanan luar biasa Baginda yang dinamakan Israk itu.
Peristiwa luar biasa dan menakjubkan akal fikiran itu hanya berlaku dalam masa satu malam sahaja. Baginda bertolak dari Makkah selepas waktu Isyak dan Baginda pulang semula ke Makkah sebelum menjelang Subuh. Kelihatan masyarakat pada hari ini sangat teruja dengan petunjukkan Ahli Silap Mata atau Magic, tetapi Magis yang dipersembahkan oleh ALLAH di pentas dunia teramat agung dan harum sehingga ke akhir waktu zaman ini.
Dalam melayari malam kebesaran ALLAH itu Nabi Muhammad telah diperlihatkan dengan gambaran penghuni syurga yang mendapat balasan nikmat yang tidak terperi indah dan bahagianya. Baginda s.a.w juga telah diperlihatkan dengan orang-orang yang di azab dengan seksaan yang sangat pedih di neraka. Dua suasana yang berbeza yang ditunjukkan kepada Rasulullah s.a.w itu akan menjadi iktibar dan pengajaran kepada kita semua iaitu umatnya yang berdiri di akhir zaman, agar mematuhi titah perintah ALLAH untuk mendapatkan balasan nikmat syurga dan menjauhi azab neraka. Kerana itu wajib kita untuk melaksanakan AMAL MAARUF NAHI MUNGKAR supaya kebaikan dijunjung dan keburukan dipinggirkan. Jangan sesekali kita melakukan maksiat serta penderhakaan, kerana akibatnya bakal dibalas dengan seksaan yang dasyat dan ngeri di dalam neraka. MASYALLAH!! Kembalilah ke pangkal jalan dan bertaubat kepada sesiapa yang pernah terbabas dan terpesong dalam batasan lingkaran kehidupan. Peringatan ini juga ditujukan kepada diri saya, seorang muslim kepada semua saudaranya di luar sana.
Ketika Mikraj, iaitu Rasulullah naik ke Hadratul Qudus menemui ALLAH. Semasa di langit ketujuh Baginda s.a.w bertemu dengan Nabi Ibrahim yang sedang bersandar di Al-Baitul Makmur (kiblat para malaikat di langit, dan betul-betul di atas Baitullah di Makkah) dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah, Nabi Ibrahim bersabda "Engkau akan berjumpa dengan ALLAH pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu daif, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu 'La Haula Wala Quwaata Illa Billah' "
Pada peristiwa itu juga dapat melihat pohon Sidratul Muntaha dan melihat Malaikat Jibril dalam bentuk asalnya semasa di langit yang mempunyai 600 sayap, serta melihat semua kebesaran kekuasaan ALLAH.
Rasulullah juga telah sampai di Hadhratul Qudus dan Hadhratul Rabbul Arbab dan bersujud ke hadrat ALLAH taala dan terjadilah beberapa dialog dengan ALLAH s.w.t. ALLAH telah memfardukan solat lima waktu sehari semalam, yang pada mulanya difardukan sebanyak 50 kali. ALLAH adalah guru yang mengajar Nabi Muhammad bersolat dan cara mengerjakannya sehari semalam.
Pengajaran yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah bahawa ALLAH itu Maha Berkuasa. Dia berkuasa melakukan peristiwa yang manusia tidak mampu untuk melakukannya. Jika diperhatikan dengan penuh rasa kesyukuran, sebenarnya bukan sekadar mentakdirkan berlakunya Israk dan Mikraj, malahan ALLAH juga berkuasa mencipta seluruh alam ini daripada tiada kepada ada. ALLAH yang mencipta bumi dan segala isinya, matahari, bulan, bintang gemerlapan yang bertaburan di ruang angkasa, dan semua planet lain yang berputar atas paksinya sendiri tanpa berlanggar antara satu sama lain. Dengan kudrat dan iradat-Nya, ALLAH mentadbir dan mengurus alam ini dengan sendirinya tanpa bantuan daripada sesiapa pun. ALLAH itu Maha Sempurna
Kita sebagai insan yang kerdil dan amat daif di hadapan ALLAH s.w.t wajib untuk beriman serta beribadah kepada-Nya dan tidak selain daripada-Nya. Kepada ALLAH juga kita bergantung dan memohon limpah rahmat dan barakat-Nya. Jangan kita menpersekutukan ALLAH dengan sesuatu yang lain kerana dosa syirik itu amatlah besar dan tidak terampun kesannya.
Secara tuntasnya, apabila kita beriman dengan keagungan dan kebesaran ALLAH, serta beriman dengan kekuasaan-Nya, maka kita pasti akan beriman dan percaya bahawa peristiwa luar biasa yang berlaku kepada Nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Israk dan Mikraj adalah benar. Kedua-dua peristiwa itu mengandungi hikmah dan pengajaran kepada Nabi Muhammad s.a.w serta untuk para Mukmin dan Mukminat sepanjang zaman.

Lihatlah kebesaran ALLAH disekeliling kita yang penuh dengan keajaiban dan tidak terjangkau benak kita untuk menidakkan keagungan-Nya. Saya hanya perantau ilmu yang berkongsi pengetahuan di alam maya untuk mengajak kita mencari kebahagiaan di alam sana. INSYALLAH.

0 comments: