BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, June 25, 2011

khaZanAh RejaB

Assalamualaikum..

Hari ini terasa perasaan gembira membelenggu diri ini sehingga sukar untuk melelapkan mata dari malam sebelumnya. Jadi masa senggang yang ada ini dimanfaatkan dengan memahirkan diri menggunakan tablet iPad yang telah di aqiqah ke rumah ini oleh seseorang yang baru sahaja dinaikkan pangkat. Canggung rasanya bila menggunakan gadget skrin sesentuh ini. Tapi inilah dikatakan permulaan untuk satu perjalanan yang baru. Tapi ini hanyalah sedikit mukadimah yang diselitkan bukan perkara yang ingin diselongkar sedalamnya.
Perkara yang ingin saya bentangkan pada kali ini adalah berkaitan tentang bulan Islam iaitu bulan Rejab. Dalam sedar angan dan lupa, pada hari dan tarikh hari ini kita telah sampai ke angka 24 Rejab yang berada dalam lingkungan kemuncak bulan Rejab. Mungkin kita tidak sedar dan ada juga yang kurang mengetahui bahawa bulan Rejab mengandungi khazanah berharga serta kaya dengan motivasi untuk mengukuhkan akhlak dan peribadi seseorang muslim.
Bulan ini telah diiktiraf oleh ALLAH sebagai salah satu antara empat bulan suci yang harus dihormati, serta dilarang daripada melakukan peperangan dan perkara-perkara yang buruk. Sebaliknya kita dan umat Islam sekaliannya digalakkan agar memperbanyakkan takafur dan merenung serta memerhatikan tanda kebesaran dan keagungan ALLAH s.wt., sama ada yang terdapat dalam sejarah yang lalu mahupun pada makhluk-makhluk ciptaan-Nya, yang mencakupi ciptaan ALLAH di langit dan di bumi, pertukaran malam dan siang, dan sebagainya.
Berbalik kepada 4 bulan suci yang harus dihormati tadi adalah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Rasulullah s.a.w ada bersabda yang maksudnya; Rejab itu bulan ALLAH, Syaaban itu bulanku(Rasulullah) dan Ramadhan adalah bulan umatku.
Untuk pengetahuan semua Rasulullah s.a.w menyifatkan Rejab sebagai bulan Allah kerana Allah telah memilih bulan ini sebagai bulan berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj terhadap diri Baginda s.a.w. Allah telah menunjukkan tanda kekuasaan-Nya pada malam itu, sehingga Rasulullah diberi peluang menghadap kehadrat-Nya untuk disyariatkan solat fardu 5 waktu yang menjadi pegangan siang dan malam seluruh umat Islam.
Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad telah dijalankan oleh ALLAH pada malam hari dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin) dengan menaiki Bura' iaitu tunggangan dari syurga ALLAH. Dalam perjalanan antara dua kota suci itu, Nabi Muhammad s.a.w telah singgah di beberapa tempat bersejarah iaitu Taiyibah(Madinah), Madyan yang menjadi tempat pelarian Nabi Musa a.s ketika dikejar oleh firaun, Tursina iaitu tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu ALLAH Baitul Laham tempat kelahiran Nabi Isa a.s dan kemudian barulah bergerak ke Baitulmaqdis.
Dalam peristiwa itu Baginda telah diperlihatkan gambaran orang-orang yang mendapat nikmat syurga dan mereka yang diseksa di neraka . Ini semua sebagai iktibar agar umatnya sentiasa mentaati perintah ALLAH dan menjauhi segalan larangan-Nya. Terdapat 17 gambaran yang telah diceritakan menerusi hadith.
Dari Masjidil Aqsa, Baginda di bawa mengembara ke angkasa lepas, dan telah diceritakan betapa Rasulullah telah melihat ALLAH pada malam Mikraj di langit tertinggi dengan rukyah basariahnya (mata kepala).Baginda juga melihat Sidratul Muntaha dan syurga Jannatul Ma'wa yang menjadi tempat kediaman dan taman perkebunan bagi para Malaikat, bagi roh orang-orang yang mati syahid, dan bagi orang-orang yang bertaqwa.
Telah diperlihatkan oleh Nabi Muhammad s.a.w beberapa perkara ajaib semasa di Sidratul Muntaha yang ditutupi oleh suatu selubung daripada makhluk-makhluk yang menunjukkan kebesaran ALLAH. Semuanya kelihatan sangat indah dan berseri-seri.
Nabi Muhammad s.a.w berada dalam keadaan tawaduk dan penuh syukur ketika melihat dan menyaksikan segala tanda kebesaran ALLAH serta keagungan ALLAH pada malam berlakunya peristiwa Mikraj itu.
ALLAHUAKBAR!! sungguh besar kekuasaan ALLAH dan terasa amat kerdil diri ini di sisi-Nya. Hati ini sentiasa meronta ingin mencium haruman syurga-Nya. Hanya AMAL MAAKRUF NAHI MUNKAR dijunjung dalam mengejar cita-cita untuk bersama kekasih ALLAH dan maharaja sekalian alam. Kita adalah manusia yang sentiasa diburu kesilapan diri yang tersembunyi, kembali ke pangkal jalan dan muhasabah semua kekurangan diri. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba yang mendapat rahmatnya di akhirat kelak.
~amin~

0 comments: