BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, September 5, 2011

Iftar de Orphan House: 31 OgoS 2010

Assalamualaikum..

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam, Prof. Madya Dr. Adnan Hashim, Pensyarah subjek "Human Communication", Pn. Sharifah Yuliana Bte Syed Ali Hanafiah, Yang Dihormati Tuan Pengurus Rumah Amal Anak Yatim YPIN, Pn. Irma Bte Arianto, ahli-ahli jawatankuasa program Iftar de Orphan House, rakan-rakan kelas Antarapersonal MC 227, dan adik-adik yang dikasihi sekalian.

Segala pujian buat Tuhan perencana segala kehidupan, sanjungan kemuliaan milik Nabi akhir zaman, seluruh pujian khusus untuk para sahabat Nabi Muhammad s.a.w.

Hadirin Sekalian,
Syukur kehadrat Ilahi, Tuhan semester alam, kerana dengan limpah kurnia dan Inayahnya, dapat kita menjayakan majlis berbuka puasa bersama adik-adik Rumah Amal Anak Yatim YPIM pada malam ini dengan lancar. Alhamdulillah hari ini pada tanggal 31 Ogos 2010 di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak, kita masih diberi peluang untuk menunaikan rukun Islam ke-3 dan melihat usia kemerdekaan negara menginjak ke angka 53 tahun.

Hadirin Sekalian,
Berpaksikan atas tema "Sejambak Kasih, Seerat Ukhwah", program ini dibentuk untuk mengeratkan hubungan Sillaturrahim yang sedia terjalin sesama insan agar perpaduan yang dipupuk dapat dikendong umat manusia tanpa mengira kelebihan dan kekurangan yang ada. Besar ertinya program ini kepada kami semua, kerana dalam menjalani ibadah berpuasa, kami dapat berkongsi kegembiraan dengan adik-adik dan menghiburkan mereka. Namun dalam enak kita bergembira, jangan dilupa pada yang tiada.

Sepanjang hampir sebulan memerah idea dan membuat persiapan, segala atur cara yang digarap dapat dipersembahkan pada hari ini. Segala dugaan dan ujian yang kami semua lalui, akhirnya membuahkan hasil. Syukur Alhamdulillah. Sekalung budi dan penghargaan kami hamburkan kepada pihak Tuan Rumah kerana dapat menerima kedatangan kami semua dan memberikan sepenuh kerjasama tanpa ada sebarang sengketa. Terima kasih juga diucapkan kepada pihak fakulti yang dapat menyediakan sedikit dana untuk melancarkan perjalanan aktiviti ini. Kepada Pn.Shayu, kami sayangkan puan dan terima kasih di atas sokongan yang diberikan dari awal hingga ke akhir.

Hadirin Sekalian,
Koleksi usia manusia bukan dipandu untuk berkiblatkan dosa, dan tidak pernah diminta meraung kepada gelita, walau diri dipanah desah hujan teduh. Aktiviti yang dianjurkan ikhlas dari hati kami, sebarang salah dan silap kami menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf jika ada perlakuan dan pertuturan kami mengguris hati keluarga besar ini. Yang baik itu datang dari ALLAH, dan yang buruk datang dari kekhilafan kami sendiri. Akhir kata sebelum saya menoktahkan percakapan saya, saya mewakili program Iftar de Orphan House mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.


Hai semua, ini adalah teks ucapan saya semasa 31 Ogos 2010 sewaktu saya memikul amanah dan tanggungjawab sebagai presiden program Iftar de Orphan House yang mana lokasinya telah berlangsung di Rumah Amal Anak Yatim YPIN di Banting, Selangor. Program ini merupakan tugasan berkumpulan kami untuk subjek "Human Communication" dan Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama dari semua ahli kumpulan. Walaupun aktiviti tersebut telah genap setahun berlalu namun kenangan indah melalui pahit manis dalam menjayakannya masih segar dalam ingatan kami. Saya sendiri ada berjanji dengan adik-adik di rumah itu bahawa saya dan ahli kumpulan akan datang kembali melawat mereka pada tahun ini namun kerana kekangan masa dan tugas, saya masih gagal melunaskan janji saya pada mereka. Tetapi itu bukan alasan saya untuk memungkiri janji kerana saya tetap akan datang menziarah mereka dan perancangan kegembiraan untuk mereka masih giat dirancang. Saya bersyukur kerana dapat melaksanakan tanggungjawab berat yang diletakkan di bahu saya pada masa itu dengan baik dan berjaya, serta pertolongan dan kerjasama dari semua rakan-rakan banyak membantu saya.Alhamdulillah.

Sebelum saya terlupa Rumah Amal Anak Yatim (YPIN) adalah dibawah naungan Datuk Ibrahim Bin Osman. Saya sendiri ada menghabiskan masa dengan beliau dan mendengar sendiri harapan beliau dan program jangka masa panjang yang telah dirancang oleh beliau demi kelansungan Rumah Amal tersebut pada masa akan datang. Ini pula adalah alamat dan lokasi Rumah Amal tersebut; Lot 873-A, Kampong Sungai Manggis, Jalan Banting Klang, Banting, Selangor Darul Ehsan.

terimalah kasih ;)

0 comments: