Assalamualaikum dan salam Jumaat kepada semua umat manusia yang beragama Islam. Salam sejahtera diucapkan kepada semua rakan-rakan dalam talian yang sentiasa aktif dalam menyelongkar ilmu maklumat di alam maya. Syukur alhamdulillah kita masih diberikan ruang untuk berkarya dan meminjam nafas di dunia yang bersifat sementara ini. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, anak adalah amanah kepada kedua-dua ibu bapa yang perlu dipelihara dan perlu diberi pendidikan sebaiknya supaya menjadi insan berguna untuk agama, keluarga, bangsa dan negara. Islam agama yang syumul mengajar kita perkara sunat perlu dilakukan ketika lahirnya seorang bayi. Antara amalan sunat itu ialah azan dan iqamah, tahnik, menguruskan uri bayi yang baru lahir dengan betul dan memberikan nama yang baik kepada anak. Pemilihan nama yang elok dan baik kepada anak adalah perkara yang perlu diambil berat oleh ibu bapa. Tetapi apa yang berlaku pada zaman moden ini, nama juga turut menjadi moden. Nama yang dipilih kadang-kadang tidak ada maksud atau membawa maksud tidak baik. Contohnya, memberi nama hasil gabungan nama pasangan yang kemungkinan membawa maksud tidak elok, dan juga bunyi yang pelik.
Asyraft The Tukang Gigit |
Islam menganjurkan kita memilih nama yang baik maknanya kerana nama akan memberi kesan kepada diri seseorang Muslim. Nabi Muhammad S.A.W amat menggalakkan kita menamakan anak dengan nama yang baik dan melarang daripada nama tercela dan boleh menjatuhkan kehormatan anak itu nanti.Nama yang dianjurkan Islam iaitu nama yang diambil daripada Asmaul Husna seperti Abdullah dan Abdul Rahman. Nama-nama yang paling disukai Allah s.w.t ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Jika nama Allah s.w.t yang dipilih mestilah dimulakan Abdul yang membawa maksud hamba. Kita juga digalakkan memilih nama-nama nabi. Selain itu nama para sahabat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan ramai lagi, juga boleh dijadikan pilihan untuk nama anak. Mereka semua adalah antara orang yang dekat dengan Rasulullah s.a.w, ahli ibadah, teguh agamanya, sangat mencintai Allah s.w.t dan Rasul-Nya serta bersungguh-sungguh mempertahankan agama Islam. Untuk bayi perempuan pula, elok diberi nama daripada kalangan Ummatul Mukminin, bermaksud ibu kepada semua orang Mukmin iaitu isteri Rasulullah s.a.w seperti Khadijah, Aisyah dan Maimunah selain nama srikandi Islam seperti Fatimah, Maryam dan Sumayyah.
Walaupun terdapat banyak nama indah dan elok maknanya yang dianjurkan Islam, malangnya ada segelintir masyarakat sekarang menganggap nama itu sebagai ketinggalan dan kolot. Mereka cenderung dan lebih selesa dengan nama artis terkenal atau nama orang barat. Persepsi ini adalah salah dan perlu dibubah. Terdapat juga nama yang dilarang diberi kepada anak yang boleh menjatuhkan maruah seperti Jahil yang bermaksud bodoh, Kilab bermaksud anjing dan Majunun yang membawa erti gila. Mungkin ada yang suka dengar sebutan nama itu tetapi maknanya amat memalukan yang empunya nama. Nama yang dimulakan dengan Abdul (hamba) dan diikuti selain nama Allah s.w.t seperti Abdul Uzzah (hamba berhala Uzzah), Abdul Kaabah (hamba Kaabah) dan sebagainya adalah dilarang dan bercanggah dengan akidah kita. Kita adalah hamba Allah dan tiada yang selain-Nya.
Sebagai ibu bapa dan kepada bakal ibu bapa yang menanti kelahiran bayi mereka, anda perlu bertanggungjawab dan prihatin terhadap anak. Berhati-hati dalam memilih nama anak yang baru lahir dan dapatkanlah pandangan daripada ustaz, alim ulama atau mereka yang mahir dalam bahasa Arab untuk mendapatkan nama yang terbaik untuk anak-anak anda, kerana nama itu adalah satu doa daripada ibu bapa yang akan membentuk keperibadian akhlak mereka sehingga dewasa dan akhir hayat kelak. Semoga nama yang anda pilih itu akan membawa pengertian yang cukup besar dan memberi makna yang elok untuk anak-anak anda.
Sekian untuk kali ini, bertemu lagi pada lembaran yang akan datang dengan perkongsian buah fikiran yang baru. InsyaAllah semuanya datang daripada Allah. Salam :)
~phared shakur~
0 comments:
Post a Comment