BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, April 2, 2013

iman

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada seluruh penduduk elektronik yang budiman. Teknologi yang maju pada hari ini, membuatkan dunia kelihatan seolah-olah semakin kecil untuk diterokai. Kita mampu untuk mempunyai sahabat dari seluruh pelusuk tanah air malah menjangkau ke seantero sfera dunia. Semua kemudahan dan teknologi yang digunapakai pada hari ini adalah ilmu Allah yang diaplikasikan oleh umat manusia. Sayangnya kecanggihan yang wujud pada hari ini dipelopori oleh masyarakat kafir yang ada sebahagiannya adalah musuh tegar umat Islam. Walaupun umat Islam dahulu dikenali dengan kebijaksanaan yang tinggi dan Islam sendiri mempunyai tokoh perubatan dan astronomi yang unggul tetapi semua sejarah yang benar itu ditenggelami oleh tokoh ilmuan barat. Hakikat yang sebenar adalah ilmu yang mereka miliki itu, telah mereka ambil dari umat Islam sendiri. Panjang berjela pula saya bercerita di gedung informasi ini. Saya cuma ingin menyatakan bahawa, dunia ini pantas berubah dan sikap manusia juga berubah. Saya yakin muslim di luar sana sentiasa ingin berubah untuk menjadi lebih baik dalam hidup mereka. IMAN adalah kunci kepada seluruh perubahan dalam setiap lapangan kehidupan seseorang muslim itu.

JoM iMARAHkan MasjiD

Dalam bingkisan-bingkisan terdahulu saya kerap mengulang terbit tentang solat. Solat itu amat penting kepada setiap individu yang bergelar seorang muslim. Solat itu adalah tiang agama yang terkandung di dalam rukun ISLAM. Kita tidak boleh menafikan tentang kepentingan solat kerana ia adalah wajib untuk dikerjakan 5 kali sehari semalam. Bermula daripada waktu Subuh hingga ke waktu Isyak. Solat di awal waktu itu adalah lebih afdhal dan kita dilarang daripada melambat-lambatkan solat. Solat itu adalah waktu di mana kita berdialog kepada Allah dan mengakui keESAan-Nya yang telah mentadbir Alam ini serta menentukan pertukaran siang dan malam. Bagi golongan lelaki, kita dituntut untuk mengerjakan solat di rumah-rumah Allah dan mengimarahkannya dengan mendirikan solat secara berjemaah. Tahap keimanan seseorang itu boleh kita perhatikan melalui sikapnya dan tanggungjawabnya kepada Allah yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Masjid-masjid dan surau akan penuh dengan para jemaah dari waktu solat Subuh hingga ke waktu Isyak dan itu menggambarkan tahap keimanan seorang muslim yang tinggi kepada Penciptanya. Hidup kita ini adalah untuk mengharapkan keredhaan Allah dan kita wajib untuk beribadat kepada-Nya. Namun hari ini kita melihat individu muslim lebih gemar untuk bersolat di rumah dan tidak mahu  mengimarahkan rumah Allah. Masjid hanya penuh pada hari Jumaat untuk mereka menunaikan solat Jumaat, tetapi mereka tiba lewat dan tidak memenuhkan saf hadapan. Sayang sungguh ramai dikalangan kita lebih mementingkan pekerjaan dunia yang bersifat sementara.

Suatu hari yang pasti kita semua akan mati cuma masa ianya berlaku kita tidak tahu kerana semua itu adalah rahsia Allah. Apabila kita berada di dalam liang lahad, dua Malaikat akan datang kepada kita untuk bertanyakan beberapa soalan. Semua jasad yang telah disemadikan akan mengalami detik itu. Kita wajib untuk menjawab semua soalan yang ditanya tersebut, cuma harus kita tahu bukan kita yang menjawab soalan itu kerana kita telah mati tetapi yang menjawabnya adalah IMAN kita. Jika iman kita kuat, InsyaAllah kita akan dapat menjawabnya. Semasa talkin dibacakan, imam sudah pun memberi kita jawapan dari atas dan memberitahu soalan bocor kepada kita, hanya kita perlu menjawab dan mengikut apa yang imam telah beritahu. Tetapi sekali lagi saya tegaskan, jika iman kita kurang walaupun sudah mempunyai jawapan yang tepat kita tetap tidak akan dapat menjawabnya. Ingatlah tuan-tuan sekalian, sebagai muslim kita harus sedar akan kepentingan iman dalam diri. Saya hanya bertindak untuk berkongsi pengetahuan yang saya miliki bukanlah untuk menakutkan atau menunjuk hebat. Apabila kita meninggal dunia nanti tiga perkara yang akan mengiringi kita iaitu Ilmu yang bermanfaat, Harta yang disedekahkan dan juga Doa anak-anak yang soleh. 

Setiap perkara baik yang ingin kita lakukan haruslah kita mengingati Allah dan didahulukan dengan nama Allah. Allah sentiasa memerhatikan perbuatan kita kerana Dia Maha Mengetahui. Iman dalam diri akan mendorong kita untuk membaca Al-Quran dan dijadikan sebagai budaya hidup harian. Kini ramai yang terasa berat hati untuk membasahkan lidah mereka dengan kalam suci Allah dan ada juga yang berlengah-lengah dalam melakukannya sehingga membuatkan mereka membatalkan niat mereka yang baik itu. Iman juga akan membuatkan kita sentiasa melakukan perkara yang bermanfaat dan mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri serta kepada orang lain. Iman yang kurang dan jarang dipertingkatkan akan menjadikan seseorang cepat untuk berasa marah, panas baran dan melakukan pelbagai kemungkaran. Ini bukanlah perkembangan yang baik kerana hidup anda akan berasa tidak tenteram. Anda akan sentiasa diburu rasa gelisah dan hati akan sentiasa gundah-gulana dalam aktiviti harian hidup. Oleh itu mari kita bersama berusaha memperbaiki tahap keimanan diri dan meningkatkan amal ibadah kepada Allah s.w.t, Alhamdulillah.

Sampai di sini sahaja coretan informasi yang dapat saya kongsikan kepada anda semua. Saya bukanlah manusia yang sempurna dalam pelbagai aspek. Saya juga ada membuat silap dalam hidup serta tidak terlepas daripada dosa. Jika terdapat kesalahan dalam rencana yang saya paparkan, tegurlah saya demi kebaikan kita bersama, InsyaAllah. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk dan tidak benar itu datangnya daripada kekhilafan diri saya sendiri. Sekian, wassalam :)

~phared shakur~

0 comments: