BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, July 11, 2015

2015: First Chapter

Assalamualaikum dititipkan kepada seluruh masyarakat alam maya di seantero pelusuk dunia. Setelah sekian lama menyepikan bayangan penulisan, alhamdulillah kini saya kembali menerjah ke ruangan diari elektronik ini sementelah dua tahun tidak mengasah jari-jemari menterjemahkan apa yang terbuku di minda. Mukadimah Pertama saya di tahun 2015 Masihi ini saya mulakan pada tanggal 24 Ramadhan 1436 Hijrah.

Kini bernafasnya saya di minggu akhir Ramadhan, di mana semua insan sedang sibuk mencari kelengkapan sebagai persiapan diri dan keluarga untuk menyambut serta meraikan kehadiran Aidilfitri pada 1 Syawal. Setelah sebulan berpuasa menunaikan Rukun Islam yang ke-4, maka beberapa hari yang mendatang ini tibalah kita ke detik kemenangan melawan godaan nafsu yang melingkari jiwa setiap manusia yang bernyawa di dunia ini. Saya sering bermonolog bersama diri sendiri, adakah kehadiran Ramadhan ini benar-benar mengajar saya erti Islam yang sebenar? Adakah saya memahami setiap pengorbanan yang saya lakukan dalam melakukan ibadah kepada Allah? Adakah puasa yang saya lakukan hanya sekadar mendapat penat, lapar dan dahaga sahaja? 

Apa yang saya lakukan bukanlah satu perkara yang sia-sia dan ia membimbing saya untuk menjadi seorang muslim yang kenal akan Islam serta mencintai Penciptanya. Setiap persoalan itu bersendikan kepada jawapan bahawa semuanya adalah merupakan ibadah kepada Allah, Tuhan Semeter Alam. Perjalanan hidup saya di dunia ini terlalu singkat jika mahu dibandingkan dengan nikmat Syurga yang Allah janjikan kepada setiap hamba-Nya yang beriman. Usia yang tersisa di bumi Allah ini haruslah kita gunakan untuk mengejar keredhaan-Nya  dengan memperbaiki setiap amalan yang lompong di masa lalu. Ganjaran yang disediakan disepanjang bulan Ramadhan ini sangatlah besar, ditambah dengan kehadiran Malam Lailatul Qadar (Malam Seribu Bulan) dan amatlah rugi bagi anak-anak Adam jika tidak memanfaatkan setiap hari yang diberikan di dalam bulan Al-Mubarak ini. Kesedaran yang perlu kita patrikan dalam sanubari kita adalah, nyawa kita tidak dijanjikan untuk bertemu Ramadhan pada tahun berikutnya dan kemungkinan tahun ini adalah Ramadhan terakhir kita bersama keluarga. 

Sebulan kita berpuasa pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri adakah kita memelihara percakapan kita? Adakah aurat kita juga berpuasa? Adakah setiap medium media sosial yang kita miliki juga berpuasa daripada setiap perkara yang boleh mendatangkan fitnah, permusuhan dan dosa? Jadikan bulan mulia ini sebagai titik tolak untuk mendisiplinkan diri dan menjadi seorang khalifah yang lebih baik daripada yang sebelumnya. Usah masih kekal menjadi insan yang terleka dahulu kerana kita sentiasa diberikan masa dan peluang untuk berubah menjadi lebih baik di mata masyarakat. Masa tidak pernah menunggu kita, dan jangan menyesal jika kita gagal memanfaatkan setiap waktu yang telah dikurniakan kepada kita. 

Seperti dalam ruangan bingkisan saya sebelum ini, di sini juga ingin saya tekankan bahawa saya juga bukanlah seorang manusia yang baik. Saya juga seorang manusia yang banyak melakukan dosa kepada Allah dan menderhaka kepada-Nya, tetapi saban hari saya cuba memperbaiki diri saya untuk menjadi seorang anak, sahabat, dan ahli masyarakat yang baik dan tidak memalukan setiap kelompok individu yang dekat dengan saya. Perlakuan dan sikap kita pada hari ini akan mencorakkan jalur hidup kita pada masa hadapan. Masa depan itu kelihatan samar tetapi ia pasti akan mengetuk dinding hidup kita pada suatu masa pasti. Oleh itu tepuk dada, tanya iman apakah kita mahu yang buruk atau yang bersinar cantik untuk kehidupan kita. InsyaAllah sama-sama kita berusaha demi kelangsungan yang lebih gemilang.

Putaran jam di dinding sudah meliuk lembut ke angka 3:30pagi dan sudah sampai masa untuk saya menamat coretan saya serta bersedia untuk memanaskan lauk-pauk untuk bersahur. Salam perkenalan dihulurkan kepada sahabat peninjau yang sudi membaca bingkisan lapuk saya ini. Saya bersyukur masih mampu untuk berkongsi idea dan menulis walaupun tidak seindah karangan penulis lain. InsyaAllah sehingga kita bertemu lagi pada lembaran akan datang. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Selamat menyambut kehadiran Syawal dengan kebahagiaan dan kesyukuran. Assalamualaikum :)

-phared shakur-



0 comments: