BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, July 17, 2015

1 Syawal 1436 Hijrah

Assalamualaikum

Salam sejahtera dibingkiskan kepada seluruh masyarakat pelayar teknologi yang masih rancak menaip papan kekunci di skrin telefon pintar mahupun di komputer riba/peribadi anda untuk mencari bahan informasi terkini. Hari ini adalah hari Jumaat (Penghulu Segala Hari) bersamaan dengan 1 SYAWAL 1436 HIJRAH / 17 Julai 2015, yang juga merupakan Hari Raya Aidilfitri bagi seluruh umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Setelah sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga, melawan nafsu dan memperbaiki iman, kini tibalah kita untuk meraikan detik kemenangan di hari Lebaran bersama keluarga, masyarakat dan insan tersayang. 

Syukur Alhamdulillah saya panjatkan kepada Allah S.W.T kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik bersama ayahanda dan bonda tercinta, yang ternyata dapat membantu kami untuk terus menunaikan ibadah kepada Allah Yang Maha Esa. Semakin menginjak dewasa, saya lebih teruja dan seronok untuk berada di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak. Syawal yang menjelma, keseronokan itu seperti bersinar hanya pada hari raya pertama sahaja. Namun masa terus pantas berlalu meninggalkan kita. Sebulan berpuasa yang kita rasakan lama itu sebenarnya teramatlah singkat. Kini kita sudah pun tiba untuk meraikan Aidilfitri mulia. Alhamdulillah.

Semoga semua usaha baik dan murni yang kita lakukan sepanjang di bulan Ramadhan yang lalu dapat diteruskan dan tidak ternoktah hanya di bulan Ramadhan sahaja. Saya yakin, insan lain juga melakukan perkara yang sama semasa berada di bulan yang tersimpan rahsia Malam Seribu Bulan itu seperti berzikir, membaca Al-Quran dan menunaikan solat fardhu serta solat sunat. Satu usaha yang bagus, daripada kita duduk lepak dan bercerita perkara yang tidak mendatangkan kebaikan, lebih baik kita membasahkan lidah kita dengan Zikrullah. Berzikir kepada Allah mempunyai banyak manfaat seperti dapat menghilangkan titik hitam di dalam hati, menenangkan jiwa yang bergelora, dan melapangkan fikiran. Rugi jika kita berpuasa tetapi masih lagi mengumpat dan memfitnah orang lain. Saya juga berharap kita dapat terus membudayakan Al-Quran di dalam setiap hari-hari yang kita lalui. Ambil sedikit masa daripada 24 jam sehari yang diperuntukkan kepada kita itu untuk membaca Kalamullah. Kita sentiasa mempunyai waktu untuk membuka laman sosial, bermain telefon pintar, dan keluar menonton wayang dengan teman tetapi terlalu sukar untuk memperuntukkan 15 minit sehari untuk membaca Al-Quran Nur-Kareem. Al-Quran itu adalah mukjizat Nabi Muhammad yang kekal relevan sehingga ke akhir waktu dunia ini, dan Kata-Kata Allah itu juga yang antara akan membantu kita semasa di akhirat kelak. Oleh itu usah kedekut masa yang anda miliki itu dan teruskannya sehingga akhir nafas kita. InsyaAllah.

Kini kita beralih ke coretan Aidilfitri saya. Alhamdulillah seperti biasa, kerja mencantikan rumah semua saya dapat mengemas dengan jayanya bersama adik-beradik yang lain. Rutin yang agak sinonim dengan saya saban tahun seperti mengelap cermin dan semua perhiasan yang berhabuk di dalam rumah. Namun keseronokan jelas terpancar di dalam setiap wajah ahli keluarga walaupun letih kerana semua perkara dilakukan secara berjemaah. Itu secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi ukhwah persaudaraan yang sedia terjalin antara kami semua. Pada malam raya tadi selepas Maghrib, alhamdulillah saya dapat mengetuai bacaan takbir raya di rumah Allah bersama ayah dan para jemaah yang lain. Pada pagi raya pula, sekali lagi saya diberi peluang untuk mengetuai bacaan takbir raya di rumah Allah. Syukur kerana peluang itu diberi kepada saya, dan sudah beberapa tahun saya mendapat peluang itu. Seronok sebenarnya bila kita dapat mengalunkan bacaan takbir memuji kebesaran Ilahi itu. Saya juga dahulu seperti anak muda lain yang berasa takut untuk mengetuai bacaan takbir dan gemuruh, tetapi saya berpendapat, sampai bila saya harus berasa takut dan tidak mencuba. Perkara yang baik itu tidak perlu kita merasa takut, dan bulatkan tekad untuk mencuba. Saya bersyukur kerana sudah 4-5 tahun saya dapat bertakbir dan mengetuainya. Saya bukan mahu berlagak tetapi apa yang saya mahu sampaikan adalah sebagai lelaki kita tidak harus berasa takut dengan bayang-bayang sendiri. Keluar dari kepompong selesa, kerana kita belajar daripada kesilapan untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang. Lihat kehadapan kerana satu hari nanti kita juga menjadi ketua keluarga (ada antara anda yang sudah menjadi ketua keluarga) dan akhirnya menjengah usia senja. Jadi usah takut, lawan rasa gemuruh yang mencengkam jiwa itu.

Tidak banyak perkara yang boleh saya kongsikan dalam bingkisan kali ini kerana rumah masih dihujani dengan kunjungan saudara mara, dan ditambah pula dengan keriuhan anak-anak saudara yang bertapak di teratak ayahanda bonda tersayang. Pelbagai ragam yang boleh diperhati, ada yang sibuk bermain mainan, mengira duit raya, yang bermain sesama sendir dan tidak kurang juga yang merengek meminta susu. Ini baru malam raya yang pertama dan masih banyak lagi perkara yang akan berlaku selepas ini, maklumlah keterujaan raya masih lagi bermaharajalela di segenap ruang kehidupan saat ini. Di kesempatan ini saya ingin memohon ampun dan maaf andai sepanjang saya berkongsi kisah hidup ini, ada perkara yang membuatkan tuan-tuan terasa hati atau tidak setuju denngan pendapat saya. Saya seorang manusia yang sentiasa diburu kesilapan dalam hidup dan jika ada yang berkecil hati, sepuluh jari disusun meminta ampun dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Selamat menjamu ketupat, lemang dan rendang semua ;)

Dari kota ke desa lebaran di sambut penuh ceria,
Memohon ampun membuka bicara,
Hari Raya di sambut bersama insan tercinta
Salam Aidilfitri pada Syawal mulia

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada Phared Shakur & Isteri-Isteri tersayang (eh??)

0 comments: