Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah |
Alhamdulillah, pada minggu lalu sekali lagi saya telah selamat khatam Al-Quran. Syukur Alhamdulillah. Saya mengamalkan membaca Al-Quran setiap kali selepas solat fardhu. Namun jika saya menunaikan solat secara berjemaah di rumah Allah, saya akan membaca Kalamullah pada waktu tengah malam di rumah dan kemudian akan disambung dengan menunaikan solat sunat Hajjat. Saya tidak berniat untuk riak dengan apa yang saya lakukan, tetapi kita harus sedar bahawa lidah kita ini perlu dibasahkan dengan bacaan suci ayat Al-Quran. Bukan saya seorang sahaja yang mengamalkan tetapi saya yakin kamu di luar sana juga melakukan perkara yang serupa. Perkara yang baik itu, perlu kita kongsikan dan bukan disimpan hanya untuk diri sendiri. Kita sentiasa mempunyai masa untuk mendekatkan diri kepada Allah kerana setiap manusia mendapat peruntukkan masa yang sama iaitu 24 jam sehari, bezanya antara kita bijak membahagikan masa itu dengan bijak atau pun tidak. Semua orang juga bekerja dan belajar serta mempunyai rasa penat seperti orang lain, tetapi adakah sukar untuk meluangkan 10-15 minit untuk berdialog kepada Allah dan memuji kekuasaannya? Apabila kita sudah meninggalkan dunia ini, kita tidak akan mempunyai sedikit pun peluang untuk kembali ke dunia untuk beramal ibadat. Marilah kita muhasabah diri dan melihat setiap kekurangan dalam diri, biarkan apa orang nak kata tentang perubahan diri kamu yang mendekatkan diri kepada Allah kerana kita sentiasa tidak akan mampu untuk memuaskan hati setiap individu yang lain.
Semua manusia mahu berjaya dalam hidup dan dalam setiap pekerjaan yang dia lakukan. Allah kurniakan kepada kita akal untuk meneroka ciptaan-Nya yang Maha Luas. Semua itu adalah ilmu yang perlu kita belajar. Tetapi akal kita ini terbatas dan tidak akan mampu untuk menandingi kebijaksanaan Allah. Jangan tersalah menggunakan kebijaksanaan dan anugerah akal yang telah diberikan oleh Allah kepada kita. Hari ini banyak kebinasaan telah berlaku di dunia mahupun dalam kehidupan sosial masyarakat. Ini adalah daripada sikap manusia itu sendiri kerana telah gagal dalam mengoptimumkan fungsi akal yang sebenar. Inilah tanda-tanda kiamat yang sudah muncul di akhir zaman. Jangan kita terus leka dan lalai dengan keindahan hidup di dunia ini ternyata bersifat sementara sahaja. Dalam setiap perbuatan, kita perlu mendapatkan restu daripada ibu dan bapa yang telah mendidik dan membesarkan kita di dunia ini. Keredhaan Allah itu datang daripada restu kedua ibu bapa kita. Hargailah orang tua kita sementara hayat mereka masih ada di dunia ini dan jangan sesekali abaikan atau sia-siakan setiap pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk diri kita. Tanpa restu mereka, kita tidak akan berjaya, tenteram ataupun bahagia. Ibu dan bapa sentiasa mendoakan kejayaan serta kebaikan untuk diri kita, tanyalah kepada hati anda sendiri adakah anda sentiasa mendoakan kesejahteraan hidup mereka di dunia dan akhirat dalam setiap 5 waktu sehari semalam?
Jika anda berasa gusar dan gelisah, titipkanlah zikir di bibir dan lidah. Itu adalah lebih baik daripada anda mencari keseronokan yang bersifat sementara. Ini sahaja perkongsian minda
~phared shakur~
0 comments:
Post a Comment